DAP Perak yakin mampu pertahan 18 kerusi disandangnya pada PRU15

Anthony Loke (tengah) pada sidang media ketika menghadiri Jamuan Makan Malam serta Pelancaran Jentera Pilihan Raya DAP Perak di sini, malam tadi.

 

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – DAP Perak yakin mampu mengekalkan kesemua 18 kerusi yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata Perak adalah negeri yang mempunyai kekuatan tersendiri dan ia terbukti melalui tiga pilihan raya yang lalu.

“Perak antara negeri yang menjadi negeri fokus Pakatan Harapan (PH) serta kita juga melihat kemungkinan dan peluang (untuk menang pilihan raya) itu ada.

“Jadi, kita akan berusaha dan bekerja keras supaya DAP dapat mempertahankan semua 18 kerusi yang kita menang sebelum ini.

“Selain itu, rakan-rakan komponen PH juga perlu memenangi kerusi-kerusi yang mereka menang sebelum ini. Kalau kita dapat mengulangi keputusan pada PRU lepas, kita sudah cukup untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Jamuan Makan Malam serta Pelancaran Jentera Pilihan Raya DAP Perak di sini, malam tadi.

Menyentuh mengenai persediaan DAP menjelang PRU15 ini, Anthony Loke berkata semua negeri memang sedang mengadakan persiapan namun Perak antara yang terawal melaksanakannya.

“DAP Perak di bawah pimpinan Nga Kor Ming (Pengerusi DAP Perak) sudah memulakan kempen sejak beberapa bulan yang lalu melalui siri ceramah dan sebagainya.

“Negeri-negeri lain saya akan pergi menjelajah dalam minggu depan, satu dua minggu lagi saya akan ke Pulau Pinang,” katanya.

Katanya, setakat ini sukar untuk diterjemahkan berapa peratus persediaan DAP untuk PRU namun mereka  sentiasa bersedia memandangkan kebanyakan kerusi  adalah dalam kalangan penyandang.

“Penyandang memang sudah mula bergerak di kawasan mereka sepanjang masa tanpa henti dan sekarang ini persediaan tertumpu kepada persiapan jentera dan juga kempen.

“Jadi, saya rasa pengalaman DAP Perak tidak menjadi masalah kerana mereka sudah amat berpengalaman dari segi kempen pilihan raya dan bila-bila masa datang pun (PRU) kita rasa kita boleh menghadapinya,” jelasnya.

Sementara itu, Kor Ming berkata kerja persiapan untuk menghadapi pilihan raya dijalankan pada setiap masa.

“Kami mendoakan keputusan yang terbaik supaya dapat kembalikan mandat rakyat supaya PH dikembalikan kepercayaan untuk memimpin negeri termasuk di peringkat Persekutuan,” katanya.

Pada PRU14 lalu, PH memiliki 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkumi DAP (18), Parti Amanah Negara (enam), PKR (empat) dan BERSATU (dua), manakala UMNO memiliki 25 kerusi, PAS (tiga) dan Bebas (satu).

#PerakKini #DAPPerak #PRU15 #Perak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *