Enam cabang PKR Perak buat laporan polis terhadap Najib Razak

Wakil daripada enam cabang PKR Perak yang membuat laporan polis di IPD Ipoh hari ini.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Enam daripada 24 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak membuat laporan polis ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini pada Selasa.
Laporan polis itu dibuat oleh Cabang Kuala Kangsar, Cabang Tapah, Cabang Lenggong, Cabang Ipoh Timur, Cabang Gopeng dan Cabang Batu Gajah.
Naib Ketua Cabang Gopeng, Mohamed Helmi Mohamed Fuzi yang mewakili ke enam-enam cabang tersebut membuat laporan itu kira-kira jam 1.56 petang tadi.
Antara yang hadir adalah Blbekas Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail, Ketua-Ketua Cabang terbabit serta ahli-ahli PKR Perak.
Difahamkan kesemua cabang parti itu akan membuat laporan polis terhadap Najib selewat-lewatnya petang ini.
Menurut Ketua Cabang Kuala Kangsar, Mohamad Hairul Amir Sabri yang mewakili keenam-enam cabang itu berkata laporan polis itu dibuat terhadap kecuaian Najib semasa menjadi Perdana Menteri sehingga membawa tuntutan waris Kesultanan Sulu yang melibatkan aset Petronas yang bernilai sekitar RM9 bilion baru-baru ini.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya sikap Najib Tun Razak yang ingin mengelirukan rakyat dalam isu tersebut dan cuba menyalahkan Kerajaan Pakatan Harapan atas tuntutan tersebut,” katanya ketika ditemui Perak Kini di parkir IPD Ipoh, pada Selasa.
Beliau turut menegaskan supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas Najib di bawah peruntukan Kanun Jenayah sedia ada (Akta 574) dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan, seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A. 395).
“Kami berharap laporan ini membolehkan kertas siasatan dibuka untuk memastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara,” ujarnya.
Kesemua cabang PKR di seluruh negara menyahut seruan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengajak seluruh rakyat Malaysia beramai-ramai membuat laporan polis terhadap Najib yang terus menyusahkan rakyat hingga menyebabkan negara berdepan dengan tuntutan berjumlah sekitar RM67.5 bilion dari waris Kesultanan Sulu.
#PerakKini #PKR #laporanpolis #NajibTunRazak #Ipoh
