Gara-gara ungkapan ‘Ramadan Special’ restoran didenda RM30,000

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Sebuah restoran dikenakan hukuman denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mempamerkan bunting yang mempunyai ungkapan ‘Ramadan Special’ tanpa Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Kes ini rentetan Op Halal yang dijalankan sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Ramadan lalu.
Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, selepas siasatan lanjut dijalankan JAIPk mengesahkan premis itu bukan pemegang sijil halal.
“Justeru, tindakan diambil ke atas premis itu kerana didapati membekal atau menawar untuk membekalkan makanan dengan membuat apa-apa representasi atau perbuatan yang boleh memperdaya atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.
“Sehubungan itu, ia menjadi kesalahan di bawah Subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan(Takrif Halal) 2011 dan boleh dihukum di bawah Subperenggan 5(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Saifullizan berkata syarikat boleh didenda tidak melebihi RM5 juta jika disabitkan kesalahan di bawah perintah berkenaan.
“Sehubungan itu, pengusaha restoran atau syarikat perlu lebih berhati-hati dalam menggunakan perbahasan halal serta memohon sijil halal yang sah apabila berurus niaga,” jelasnya.
#PerakKini #KPDNHEP #denda #salahguna #ungkapan #Ipoh #Perak
