Gempa bumi Turkiye: Malaysia hantar 75 anggota SMART malam ini

Anggota SMART sedang melakukan persiapan untuk misi SAR gempa bumi di Turkiye - Foto ihsan NADMA

Oleh Rosdalilah Zahari

MALAYSIA akan menghantar 75 orang anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa susulan gempa bumi besar berukuran 7.8 magnitud yang melanda tenggara Turkiye hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata proses penghantaran pasukan SMART dibuat setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada Kerajaan Turkiye.

“Sehubungan itu, seramai 75 orang anggota akan digerakkan ke Turkiye malam ini menerusi penerbangan Turkish Airlines dengan membawa bersama peralatan-peralatan yang akan digunakan di dalam operasi SAR,” katanya dalam satu kenyataan media petang ini.

Beliau berkata, Pasukan SMART telah menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.

Gempa bumi yang melanda selatan Turkiye dan utara Syria itu telah merobohkan ratusan bangunan dan angka kematian kini melonjak kepada sekurang-kurangnya 641 orang.

Media antarabangsa turut melaporkan bahawa terdapat beratus-ratus lagi mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan dan jumlah korban dijangka terus meningkat apabila anggota penyelamat menjalankan kerja mencari di timbunan runtuhan bangunan di bandar dan pekan seluruh kawasan terbabit.

#PerakKini #SMART #Malaysia #bantuan #SAR #gempabumi #Turkiye #Syria #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *