Guna tong sampah secara berhemah, atasi masalah sampah haram

Salah seorang penerima membawa tong sampah percuma pulang menaiki motosikal selepas hadir pada Program Membudayakan Amalan Penggunaan Tong Sampah di Dewan Komuniti Villa MDP, pagi tadi.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Penduduk di Villa Medan Desa Perpaduan (MDP) dan Desa Putra Indah disarankan untuk memanfaatkan penggunaan tong sampah yang diberikan secara percuma oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan berhemah supaya masalah sampah haram dapat diatasi di bandar raya ini.

Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman berkata kira-kira 250 tong sampah yang berkapasiti 120 liter seunit itu diagihkan kepada penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan.

Menurutnya, tong sampah itu diberikan secara berperingkat-peringkat mengikut giliran yang ditetapkan.

“Hari ini kita agihkan tong sampah kepada penduduk dan berharap mereka dapat mengamalkan sikap menggunakannya dengan cara yang betul.

“Dalam pada itu, kita berharap melalui inisiatif ini tiada lagi tempat pembuangan sampah haram pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Perak Kini selepas mengagihkan tong sampah pada Program Membudayakan Amalan Penggunaan Tong Sampah di Dewan Komuniti Villa MDP, pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Kampung Villa MDP, Azizi Junit dan Penghulu Tanjung Rambutan, Robiah Mohamed bersama-sama ahli jawatankuasa penduduk yang bekerjasama menjayakan program ini bersama MBI.

Mazlan bersama penduduk Villa MDP dan Desa Putra Indah yang menerima tong sampah secara percuma daripada MBI hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mazlan berharap melalui aktiviti yang dijalankan MBI pada ini dapat membudayakan sekaligus membentuk masyarakat yang mementingkan kebersihan.

“Pemberian tong sampah secara percuma ini adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan MBI dan menyasarkan akan membekalkannya secara percuma di seluruh bandar raya Ipoh,” ujarnya.

Sementara itu, K Veeramah, 65, yang baru pindah ke Villa MDP sejak tiga bulan lalu berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin kerana memberikan tong sampah secara percuma kepada penduduk di Villa MDP.

“Dengan adanya tong sampah ini, kawasan di persekitaran kerjiranan rumah akan lebih bersih,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Liew Kok Wei, 55, amat gembira kerana menerima tong sampah yang diberikan MBI secara percuma itu.

“Saya amat seronok kerana dapat tong sampah besar. Selepas ini, anjing tidak boleh koyak plastik sampah lagi dan kawasan rumah tidak akan kotor,” ujarnya.

#PerakKini #MBI #tongsampah #percuma #HuluKinta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *