Hujan bukan penghalang 300 peserta Iron Bound Edisi Ke-11 Lenggong 2021 berentap

Oleh Rosdalilah Zahari

LENGGONG – Walaupun cuaca hujan, ia tidak menghalang 300 peserta daripada 150 pasukan untuk berentap dan meneruskan cabaran Iron Bound Edisi Ke-11 Lenggong, di sini, pada Sabtu.

Presiden Persatuan Sukan Orienteering Malaysia merangkap penganjur program, Shamsuri Abd Latif berkata, program yang berlangsung selama dua hari itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kelas Tumpo (Kategori Elit Pasukan) yang akan berlumba selama 12 jam tanpa henti dan Kelas Jenoh (Kategori Adventure) iaitu perlumbaan enam jam tanpa henti.

Katanya, pada tahun ini hanya peserta tempatan berusia antara 21 hingga 60 tahun lelaki dan wanita menyertai acara tersebut berikutan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

“Hari ini cuaca hujan dan ia agak mencabar kepada peserta sukan lasak terbabit. Oleh itu, kita berharap mereka dapat kembali ke garisan penamat dengan baik.

“Penganjuran program ini juga diharap dapat meningkatkan lagi pembangunan sukan lasak di negara ini,” katanya.

Menurutnya, pemenang tempat pertama hingga ketiga bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan itu akan menerima wang tunai dan hadiah daripada penjaja manakala peserta yang berjaya menghabiskan disiplin yang ditetapkan akan menerima medal.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata penganjuran program tersebut amat mengujakan penduduk Lenggong yang secara tidak langsung dapat memperkenalkan destinasi ini kepada pelancong dari luar Perak.

Presiden Persatuan Sukan Orienteering Malaysia merangkap penganjur program, Shamsuri Abd Latif.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menerima jersi perlumbaan Iron Bound Edisi Ke-11 pada Majlis Perasmian dan Pelepasan Iron Bound Edisi Ke-11 Lenggong di Padang Majlis Daerah Lenggong.
Peserta dari Taiping, Mohd Noor Hafizzudin Hassan, 32, (kiri) bersama ahli pasukannya, Mohd Azwan Zainal Abidin, 42.
Peserta Iron Bound Edisi Ke-11 Lenggong bersiap sedia di garisan permulaan di Padang Majlis Daerah Lenggong.

 

“Pada tahun ini, penyertaan tidak ramai seperti edisi terdahulu yang turut disertai peserta antarabangsa akibat PKP. Bagaimanapun, ini tidak menjejaskan kemeriahan acara tersebut.

“Peserta perlu ada kekuatan mental fizikal bagi meneruskan segala cabaran sekali gus menyemarakkan semangat jati diri anak muda Malaysia.

“Justeru, kita berharap penganjur akan meneruskan program ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Bagi Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, pemilihan Lenggong adalah bertepatan dan ia antara lokasi terbaik untuk aktiviti sukan pelancongan.

Tambahnya, pengiktirafan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2012 dan Geopark Lenggong yang akan diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan dalam masa terdekat menunjukkan lokasinya juga amat bersesuaian untuk aktiviti pelancongan.

“Flora fauna yang menarik, hutan belantara, sungai dan keadaan muka bumi di sini amat sesuai untuk eko-pelancongan dan kita percaya segala disiplin dalam perlumbaan pada hari ini amat bersesuaian.

“Program ini juga secara tidak langsung dapat ‘membuka mata’ pihak lain untuk memilih Lenggong bagi menjalankan aktiviti lain yang dapat beri impak kepada sosio ekonomi penduduk tempatan.

“Justeru, perancangan awal perlu disusun semua agensi terbabit sekiranya terdapat penganjuran program lain yang akan dilaksanakan pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, peserta dari Taiping, Mohd Noor Hafizzudin Hassan, 32, berkata dia bersama ahli pasukannya, Mohd Azwan Zainal Abidin, 42, akan melakukan yang terbaik bagi menyelesaikan semua disiplin yang ditetapkan pada perlumbaan tersebut serta menyasarkan akan menamatkannya dalam tempoh tujuh jam.

Terdahulu, Saarani merasmikan dan melepaskan peserta perlumbaan sukan lasak itu di Padang Majlis Daerah Lenggong di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *