Bina gelanggang bagi membangunkan sukan petanque di Perak Tengah

Oleh Rosdalilah Zahari
PARIT – Gelanggang de’ARENA@pasirgajah yang bernilai hampir RM100,000 dibina bagi membangunkan sukan petanque terutamanya bagi peminat sukan itu di Daerah Perak Tengah. Pemilik gelanggang, As Halim Shafie berkata tujuan utama gelanggang itu diwujudkan adalah untuk memperkembang dan memajukan sukan terbabit dalam kalangan penduduk setempat.
Menurutnya, inisiatif pembinaan gelanggang termasuk beberapa prasarana lain itu dilaksanakan menggunakan modal sendiri termasuk bantuan kewangan daripada pemimpin setempat dan orang perseorangan.
“Terdapat lapan gelanggang boleh digunakan untuk bermain petanque dengan maksimum 32 pasukan pada satu-satu masa.
“Justeru, kami turut memohon jasa baik Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria untuk membantu menambah bilangan lampu supaya lebih banyak pasukan dapat bermain sehingga waktu malam.
“Selain itu, pembinaan gelanggang ini juga secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan mikro ekonomi penduduk setempat yang mengusahakan kedai makan dan kedai runcit,” katanya kepada Perak Kini pada Sabtu.
Dia ditemui selepas majlis perasmian gelanggang itu di Kampung Pasir Gajah, di sini, pada Sabtu.




As Halim berkata, bagi yang ingin mencuba atau ingin meningkatkan lagi kemahiran dalam sukan petanque, mereka boleh hadir ke gelanggang berkenaan untuk mengikuti Program Pembangunan Petanque Daerah Perak Tengah yang akan diadakan pada setiap Ahad bermula minggu hadapan.
“Program yang diadakan secara percuma itu terbuka kepada orang awam yang berminat dalam sukan petanque tanpa mengira usia dan akan berlangsung dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Setiap minggu terdapat pemain petanque yang pernah bertanding di peringkat kebangsaan dan pengadil bertauliah yang akan bergilir-gilir membantu mengendalikan program tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Perak Tengah, Zairina Noordin berkata pihaknya amat kagum dengan usaha yang dijalankan bagi meningkatkan sukan petanque terutamanya di daerah berkenaan.
“Kami yakin dengan usaha ini memandangkan petanque boleh dimajukan di Perak Tengah. Justeru, kami dari Pejabat Daerah Perak Tengah dan orang tempatan akan bersama-sama menjayakan projek ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Perak Tengah, Ahmad Shafiq Ahmad Zakari pula berkata Pejabat Belia dan Sukan Daerah Perak Tengah amat menyokong inisiatif mewujudkan satu lokasi bagi sukan petanque yang pertama di daerah itu.
“Melalui gelanggang ini, kita boleh mencungkil bakat baharu dalam sukan tersebut. Selain itu, kita berharap pihak terbabit mewujudkan persatuan atau kelab petanque berdaftar bagi memudahkan mereka untuk memohon bantuan bagi mengadakan program pada masa hadapan,” jelasnya.
