Ipoh disenaraikan nombor 1 di Asia ‘tempat menarik yang kurang dinilai’ – Datuk Bandar

Gambar fail
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Siapa sangka bandar raya Ipoh menduduki tangga pertama daripada 18 lokasi yang dinilai oleh CNN Travel sebagai tempat menarik yang paling kurang dinilai di Asia.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata penilaian dan pengiktirafan tersebut dilihat secara tidak langsung dapat membantu menarik kehadiran lebih pengunjung ke bandar raya ini sempena Tahun Melawat Ipoh 2023.
“Selain, Ipoh yang dipilih sebagai tangga pertama lokasi lain yang disenaraikan adalah Isaan, Thailand; Leshan, China; Skardu, Pakistan; Nikko, Jepun; Dalat, Vietnam; Davao, Filipina; Meghalaya, India.
“Palau Ubin, Singapura; Pulau Samosir, Indonesia; Pakse, Laos; Bangladesh; Tengchong, China; Kepulauan Gogunsan, Korea Selatan; Teluk Lan Ha, Vietnam; Kenting, Taiwan; Banteay Chhmar, Kemboja dan Jaffna, Sri Lanka,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Rumaizi memaklumkan Ipoh turut disenaraikan sebagai tempat pertama dalam pencarian hartanah untuk dijual di laman web iProperty.com.my antara Januari hingga November 2022.
Katanya, mengikut sumber data yang diperoleh daripada PropertyGuru Malaysia itu Ipoh mencatatkan jumlah carian tertinggi oleh rakyat Malaysia yang sedang mencari hartanah kediaman diikuti Petaling Jaya, Selangor di tempat kedua.
“Data carian oleh portal hartanah terkemuka itu mencerminkan perubahan dalam corak carian hartanah kediaman, apabila pada tahun ini, lebih ramai pembeli rumah dan pelabur berpotensi kini mempertimbangkan kawasan terpilih di luar Lembah Klang.
“Lokasi berkenaan cenderung menawarkan rumah bertanah mampu milik dalam persekitaran yang mesra keluarga,” ujarnya.
Menurutnya, pada tahun 2022 lebih ramai pelabur dan pembeli mempertimbangkan hartanah kediaman di kawasan yang terletak di luar Lembah Klang.
“2023 adalah tahun yang menarik untuk diramal sama ada hartanah kediaman di luar bandar utama atau kawasan kegemaran ramai akan terus mendapat tarikan dalam kalangan pembeli dan pelabur rumah.
“Ipoh tanpa dijangka muncul kawasan paling popular tahun ini, sekali gus menjadi bandar kedua di luar Lembah Klang yang pernah menduduki tempat tertinggi dalam senarai carian hartanah selepas Johor Bahru.
“Pemilihan Ipoh yang juga ibu negeri Perak itu disebabkan beberapa faktor antaranya dikenali sebagai hab makanan tempatan, pemeliharaan warisan, bangunan dan mercu tanda bersejarah, selain berhubung terus dengan Lebuhraya Utara-Selatan,” jelasnya.
Beberapa kawasan lain yang disenaraikan antara 10 lokasi carianpopular di Malaysia adalah Cheras, Bandaraya Johor Bahru, Puchong, Kuching, Port Dickson, Mont Kiara, Bandaraya Shah Alam dan Bandaraya Seremban.
#PerakKini #Ipoh #bandaraya #terbaik
