Ipoh lokasi pertama di Perak menggunakan lampu isyarat pintar ‘STARS’

Khairul Shahril menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Langganan Perkhidmatan antara MBI dan TM di Bilik Mesyuarat Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Perak di sini, pada Selasa.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Ipoh menjadi lokasi pertama di Perak yang menggunakan sistem lampu isyarat pintar (STARS) dilengkapi keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang membantu melancarkan aliran trafik di bandar raya ini terutamanya ketika waktu puncak.

Setakat ini, empat lokasi sudah melaksanakan sistem berkenaan iaitu di persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Laksamana; persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Datuk Onn Jaafar; persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Musa Aziz; dan persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Ekram.

Exco Belia, Sukan dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamad berkata, perkhidmatan STARS ini adalah hasil kerjasama antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang sudah mula beroperasi sejak November tahun lalu.

“Kita bercadang untuk melaksanakan pemasangan lampu isyarat pintar itu di beberapa lokasi sekitar Perak pada masa akan datang memandangkan ia memberi kesan besar mengurangkan kadar pengeluaran karbon sebanyak 7,500 kilogram (kg) sebulan selaras dengan hasrat MBI menjadikan Ipoh bandar raya rendah karbon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Langganan Perkhidmatan antara MBI dan TM di Bilik Mesyuarat Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Perak di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dan Naib Presiden Jualan mewakili TM One, Mohamed Faisal Naina Mohamed.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata sistem STARS yang dilengkapi AI serta kamera AI berdefinisi tinggi dan analitik video ini membolehkan analisa trafik secara pintar untuk kelancaran trafik yang optimum.

“Melalui penggunaan STARS secara tidak langsung akan membantu melancarkan aliran trafik sehingga 51 peratus terutama pada waktu puncak serta menjimatkan masa dan kos bagi pengguna jalan raya,” jelasnya.

Terdahulu, Khairul Shahril merasmikan Ipoh Integrated Operation Centre (IIOC) & 5G di lokasi sama hari ini.

#PerakKini #MBI #TMOne #STARS #AI #lampuisyaratpintar #rendahkarbon

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *