JAIPk keluar garis panduan larang ahli politik mengajar, bersyarah di masjid, surau

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melalui Jawatankuasa Pengawasan Agama Islam Negeri Perak mengeluarkan garis panduan larangan mengajar atau bersyarah oleh ahli politik di semua masjid dan surau berdaftar di negeri ini.
Pengarah Jaipk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata larangan itu termasuk membabitkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara.
Menurutnya, larangan itu turut melibatkan
individu yang memegang jawatan dalam mana-mana parti politik serta yang menjadi calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil.
“Larangan ini turut terpakai kepada individu yang telah bersara sebagai Ahli Dewan Negara atau Ahli Dewan Rakyat atau ADUN serta didapati kekal aktif dalam kegiatan-kegiatan politik.
“Selain itu, larangan mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau yang berdaftar juga termaktub kepada individu yang tiada mempunyai sebarang tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi pekeliling Garis Panduan Larangan Mengajar Serta Bersyarah Dalam Masjid Dan Surau Yang Berdaftar Dengan JAIPk yang dikeluarkan baru-baru ini.
Sehubungan itu, Harith Fadzilah mengingatkan supaya jawatankuasa kariah masjid dan jawatankuasa surau sentiasa memantau aktiviti mengajar atau bersyarah supaya selari dengan matlamat pengajaran serta syarahan pengajaran iaitu pengukuhan ilmu dan pemupukan perpaduan masyarakat.
Sebelum ini, JAIPk pernah mengeluarkan surat pekeliling bertarikh 26 Oktober 2022 yang menyatakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah bertitah pada 24 Oktober 2019 untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti politik diadakan di premis masjid atau surau baik daripada parti kerajaan mahupun pembangkang.
#PerakKini #JAIPk #ahlipolitik #dilarang #mengajar #bersyarah #masjid #surau #RBZ
