Jom Audit Solat didik cara sempurnakan Rukun Islam Kedua

Mazlan (duduk kanan) ketika melihat cara tertib solat yang ditunjukkan kepada peserta pada program Jom Audit Solat di Masjid Hajjah Puteh Mahani, Bercham Raya, Ulu Kinta.
Oleh Rosdalilah Zahari
ULU KINTA – Program Jom Audit Solat yang julung kali diadakan di Masjid Hajjah Puteh Mahani, Bercham Raya, di sini berjaya menarik minat 50 peserta daripada pelbagai peringkat umur bermula dari kanak-kanak sehingga ke golongan warga emas.
Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) program di bawah MBI Prihatin itu bertujuan untuk memberi ilmu solat yang sempurna kepada peserta.
Menurutnya, terdapat dua slot dalam program tersebut iaitu slot tertib solat dan slot bacaan surah Al-Fatihah yang betul.
“Kita akan mengadakan program ini dari semasa ke semasa di seluruh masjid sekitar DUN Hulu Kinta sehingga dan akan berakhir di Masjid Ulu Kuang, Chemor.
“Buat masa sekarang kita fokus pada lokaliti yang besar di masjid dahulu dan jika ada peruntukan lebih kita akan adakan di surau.
“Pada masa sama, jika ada ruang dan masa yang baik mungkin kita akan mengadakan program ini untuk jemaah wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Jom Audit Solat di Masjid Hajjah Puteh Mahani, Bercham Raya, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Masjid Hajjah Puteh Mahani, Mohd Noor Jalaludin dan Timbalan Pengerusinya, Mohd Firdaus Mokhtar.
Dua penceramah yang terbabit dalam program itu adalah Pegawai Tadbir Agama Kampar, Abdul Muhaimin Abdul Majid (slot Tertib Solat) dan Guru Al-Quran Tahfiz Tambun, Muhammad Faez Mohammad Fadzil (slot Bacaan Surah Al-Fatihah yang Betul Dalam Solat).
Dalam perkembangan sama, Mazlan berkata melalui pembelajaran teknik dan bacaan surah yang betul peserta secara tidak langsung dapat memperbaiki ibadah solat mereka dan melakukannya dengan sempurna.
Sementara itu, Mohd Noor mengucapkan terima kasih kepada Mazlan kerana mengambil inisiatif melaksanakan program itu.
Katanya, program tersebut banyak membantu peserta untuk membetulkan cara solat mereka.
Salah seorang peserta cilik, Muhammad Aniq Hakim Melban, 9, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pakatan Jaya berkata dia sangat gembira mengikuti program itu kerana dapat belajar cara solat yang betul.
“Sebelum ini mungkin saya tidak sedar terdapat kesilapan dalam solat setiap hari tetapi selepas belajar tertib solat dan bacaan surah Al-Fatihah yang betul, InsyaALLAH selepas ini saya dapat memperbaiki solat saya agar menjadi lebih sempurna,” ujarnya.
#PerakKini #jomauditsolat #UluKinta #Ipoh #Perak
