JUAL PELITA PANJUT SARA KELUARGA

Oleh ROSMAN SHAMSUDIN

TAPAH : Tradisi memasang panjut atau pelita hiasan memang sinonim dengan masyarakat Melayu ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri saban tahun.

Bagaimanapun, pada tahun ini pasti berbeza dengan tahun sebelumnya berikutan penularan wabak covid-19 di seluruh negara.

Namun, bagi Mohd Faizal Naziri, 32, penghasilan panjut kini menjadi sumber pendapatannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.

Menurutnya, walaupun perlu mencari buluh ketika waktu berpuasa dan berdepan dengan miang buluh di badan, namun demi mencari rezeki untuk keluarga dia nekad mencuba membuat panjut.

“Mula-mula hendak buat memang susah dan sering lakukan kesilapan namun saya tetap tidak berputus asa demi nencari rezeki yang halal untuk keluarga.

“Lepas banyak kali mencuba baru saya tahu, kalau hendak anyam panjut, bilah buluh dia kena ganjil nombor dan tidak boleh genap,apabila berkali-kali mencuba, akhirnya, saya cuba belah bilah jadi tujuh baru menjadi,” katanya ketika dihubungi, dekat Kampung Sungai Genting, Chenderiang, Tapah.

Bapa kepada dua anak ini berkata, idea menghasilkan panjut tercetus selepas majikannya menghentikan projek ketika PKP dilaksanakan.

Katanya, buntu memikirkan sumber pendapatan keluarga dia mengikut penduduk Orang Asli di kampungnya masuk ke hutan dan mencari buluh.

Bermula saat itu, timbul idea untuk menghasilkan panjut dengan tanpa berbekal sebarang kemahiran dan pengalaman membuat serta menghasilkan panjut.

” Panjut yang dihasilkan secara manual sepenuhnya ini menggunakan buluh jenis beting yang dicari di kawasan hutan sekitar kampung dan rotannya pula dibeli dengan jiran dengan harga 50 sen sebatang.

” Bukannya mudah, di mana saya mengambil masa lima hingga 10 minit untuk menyiapkan satu unit panjut dan dapat menghasilkan sebanyak 40 unit sehari,”katanya.

Beliau berkata ,panjut terbabit hanya dijual pada harga RM 22.00 untuk sepuluh batang dan RM 30.00, jika ditempah bersama lampu minyak tanah.

Oleh itu, jika ingin menempah panjut boleh menghubungi Faizal di talian 011 1169 1043.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *