MASIH GUNA PEMBAKAR ROTI USIA 60 TAHUN

Oleh Intan Efazila Md Yusop

MUALLIM:Pengusaha roti tradisional yang menggunakan ‘ Oven ‘ atau pembakar yang diperbuat daripada batu yang berusia kira-kira 60 tahun tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan sejak beliau kembali memulakan perniagaan kira-kira seminggu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac yang lalu.

Sebelum PKP, kira-kira jam 1.00 petang kelihatan ramai ppelanggan akan beratur di depan Kilang Roti Mokhtar dekat Kampung Masjid Lama, Slim River, namun apabila PKP dikuatkuasakan disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beliau mengubah cara jualan bagi menjana pendapatan harian.

Pengusaha roti kaedah tradisional, Mokhtar Amat Mohamad Taqi, 57, berkata atas permintaan pelanggan yang gemar memakan roti yang dibakar dengan kaedah tradisional menyebabkan mengambil tempahan secara ‘Cash On Delivery’ (COD) hanya untuk penduduk sekitar sahaja.

Katanya, anak perempuannya, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Siti Maisarah,23, setiap hari akan menguruskan tempahan melalui laman Facebook dan aplikasi Whatsaap.

” Tiga orang anak lelaki, Muhammad Amar Haikal, 31, Muhammad Ariff Helmi, 28, dan Muhammad Aminurrashid, 18, pula akan menguruskan penghantaran secara COD ke rumah pelanggan.

” Manakala ,isteri saya, Norhasimah Amir, 52, seperti biasa setia bersama saya sejak 36 tahun dahulu membantu saya mengadun dan membuat doh roti bermula jam 6.40 pagi, sebelum dibakar menggunakan pembakar batu itu,” katanya ketika ditemui dekat kilang roti, dekat sini.

Antara roti yang dihasilkan setiap Hari iaitu roti kelapa, kaya, kacang, planta dan bantal dengan menggunakan tepung bermutu tinggi kira-kira 30 kilogram (kg) bagi menghasilkan roti yang terbaik untuk pelanggan.

Beliau sebenarnya mewarisi teknik pembuatan roti kaedah tradisional daripada arwah bapanya, Mohamad Taqi Habib yang meninggal dunia ketika berusia 82 tahun.

” Setiap hari saya menghasilkan kira-kira 700 buku roti dan sebelum itu, pembakar batu perlu dipanaskan dengan menggunakan kayu yang dibakar kira-kira dua jam setengah bagi menghasilkan haba untuk memasak roti.

“Kadangkala ada juga pelanggan yang datang ke kilang terutama pelanggan tetap yang terdiri penduduk setempat , maka terpaksalah juga saya menjual untuk menjaga hati pelanggan,” katanya.

Mokhtar berkata beliau bersyukur , walaupun dalam PKPB masih berkuatkuasa, namun permintaan roti tradisional yang beliau usahakan itu tetap mendapat permintaan pelanggan.

Katanya, kaedah dan teknik pembakaran roti secara tradisional itu membuatkan roti beliau mempunyai rasa yang kelainan dan keistemewaan serta diakui oleh pelanggannya sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *