Kabel lampu limpah Stadium Perak dicuri lagi, MBI bakal pasang 17 CCTV

Foto: Perak FC Official

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Baru empat bulan kes kecurian komponen lampu limpah berlaku di Stadium Perak, kejadian sama berulang kembali pada 11 Mei melibatkan anggaran kerugian sebanyak RM78,000.

Sebelum ini, pada Februari lalu MBI terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM135,000 akibat kejadian kecurian yang sama.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah pun dimaklumkan mengenainya dan susulan kejadian tersebut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bakal memasang 17 kamera litar tertutup (CCTV) termasuk sistem penggera di sekitar kawasan stadium membabitkan anggaran kos RM50,000.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan sistem keselamatan itu akan dimulakan pada Jun dan dijangka siap pada bulan berikutnya.

“Sehubungan itu, kita akan pasang CCTV dan sistem penggera termasuk di bilik yang menempatkan kabel dan komponen lampu limpah itu.

“Kecurian itu dipercayai dilakukan lebih tiga orang dan antara yang dicuri adalah komponen tembaga pada lampu limpah yang bernilai RM1,300 sebiji dan dipercayai mereka mencuri lebih kurang 50 biji,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Lantikan dan Taklimat Kepada Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan Pegawai Perhubungan Kawasan ‘Area Officer’ (AO), di Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.

Terdahulu, tular mengenai kes kecurian itu di akaun Facebook, TBG Super Fan yang menghantar status ‘Stadium Perak, kecurian berlaku lagi’.

Berikutan itu, ada dalam kalangan peminat bola sepak Perak mencadangkan supaya penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan dan CCTV dipasang di sekitar kawasan stadium bagi mengelakkan perkara sama daripada berulang.

#PerakKini #MBI #StadiumPerak #lampulimpah #curi #cctv #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *