Kampung Ulu Chemor anjur sukaneka, sepak takraw pupuk semangat perpaduan

Oleh Rosdalilah Zahari

CHEMOR – Penganjuran sukaneka dan pertandingan sepak takraw di Kampung Ulu Chemor baru-baru ini berjaya memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk selepas dua tahun tidak dapat diadakan akibat pandemik Covid-19.

Kira-kira 85 peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur menyertai acara yang dipertandingkan pada hari tersebut.

Antara acara sukaneka yang dipertandingkan termasuklah boling kelapa, isi air dalam botol dan tarik tali kategori kanak-kanak serta dewasa.

Ketua Kampung Ulu Chemor, Shamsudin Mohd Ramli berkata acara berkenaan juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga serta merapatkan lagi ukhuwah sesama masyarakat setempat.

“Aktiviti seperti ini secara tidak langsung dapat menceriakan institusi keluarga dan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Datuk Mazlan Abd Rahman merasmikan gelanggang sepak takraw di padang kampung berkenaan.

Mazlan berkata program seperti ini secara tidak langsung dapat merapatkan ukhuwah antara penduduk kampung di samping menzahirkan semangat kerjasama antara satu sama lain.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @Md Daud dan MBI kerana membina gelanggang sepak takraw di kawasan kampung ini untuk kegunaan penduduk bagi menjalankan aktiviti-aktiviti riadah dan sukan.

#PerakKini #sukaneka #sepaktakraw #UluKuang

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *