KBS sedia bantu pergiat usaha cegah rasuah, salah guna kuasa dalam kalangan belia

Ahmad Faizal pada sidang media selepas merasmikan Malaysia Sports League Daerah Kinta 2022 di X Park Sunway City di sini pada Ahad.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kegiatan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan belia perlu diberi perhatian menyeluruh di negara ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, bagi memastikan gejala itu tidak terus berleluasa kesedaran perlu dipupuk bermula dari peringkat sekolah.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan tampil membantu pihak berkaitan dengan bersama-sama mengadakan program kesedaran dari semasa ke semasa untuk membendung gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan belia.

“Kesedaran ini bukan sahaja perlu diterapkan di peringkat kementerian, termasuk juga di peringkat sekolah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan setiap badan agensi, dengan menjalankan aktiviti atau program kesedaran tentang bahaya gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“Gejala ini dilihat seperti penyakit, di mana ia tidak kira bangsa dan agama, jika seseorang itu tiada jati diri tentu dia akan lakukan juga. Saya amat berdukacita kerana golongan muda sudah terlibat dengan rasuah,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada media selepas merasmikan Malaysia Sports League Daerah Kinta 2022 di X Park Sunway City di sini pada Ahad.

Semalam, media melaporkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali memaklumkan bahawa berdasarkan data terkini SPRM, seramai 275 belia berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun ditahan atas kesalahan rasuah yang terdiri daripada 231 lelaki dan 44 wanita sejak 2020 hingga Jumaat lalu.

Dalam tempoh sama, seramai 151 belia dituduh di mahkamah membabitkan 11 orang berusia 18 hingga 23 tahun dan 140 orang berusia 24 hingga 30 tahun, dengan 85 daripadanya selesai perbicaraan serta didapati bersalah yang mana antara kesalahan dilakukan adalah memberi, menerima dan lain-lain kesalahan berkaitan rasuah.

#PerakKini #cegah #rasuah #belia #Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *