KEMPEN TANAM POKOK BERJAYA

Oleh Intan Efazila Md Yusop

BEHRANG: Kira-kira 910 pelbagai jenis pokok berjaya ditanam oleh peserta dalam Kempen Tanam Pokok sempena Sambutan Hari Perubahan Cuaca Sedunia 2020 anjuran Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM), baru-baru ini.

Presiden PERKAM, Dr.S.Santharasekaran berkata dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semua peserta yang terdiri daripada murid dan pelajar sekolah serta orang awam disarankan menanam apa jua jenis pokok samada di kawasan halaman rumah atau persekitaran.

Katanya, hasil itu kira-kira 450 pokok berjaya ditanam oleh murid sekolah rendah dan 260 pokok daripada pelajar sekolah menengah serta 200 pokok terdiri orang awam.

” Semua peserta terutama ahli PERKAM diminta memuat naik gambar melalui aplikasi Whatsaap atau Telegram kepada pihak PERKAM selesai menanam pokok untuk melayakkan mereka menerima sijil penyertaan.

” Tujuan kempen ini dianjurkan bertujuan menggalakkan orang ramai terutama generasi muda menanam pokok bagi memastikan suhu bumi di negara ini dapat dikawal walaupun negara sedang pesat dengan pembangunan,” katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Presiden PERKAM, Dr.S.Santharasekaran turut menanam pokok sempena Kempen Tanam Pokok
Peserta yang terbabit dalam Kempen Tanam Pokok sempena Sambutan Hari Perubahan Cuaca Sedunia 2020 anjuran Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM).

Santharasekaran berkata pemanasan global atau pemanasan sejagat saling berkait dengan peningkatan suhu dunia, di mana suhu bumi telah meningkat dua darjah dan kadarnya berbeza mengikut benua serta kawasan tertentu.

Katanya, kajian mendapati kawasan Artik lebih pantas menjadi panas berbanding kawasan lain dan perubahan iklim biasanya berlaku dalam tempoh 10,000 tahun tetapi kini perubahan iklim berubah dalam tempoh 100 tahun sahaja serta jarak hanya 2 generasi sahaja.

” Suhu bumi meningkat sejak tahun-tahun 90an dan kajian mendapati iklim panas melampau di Perancis serta iklim lebih panas di rantau Siberia dan pencairan “permafrost” (lapisan tanah yang kekal beku di rantau paling sejuk) terutamanya di rantau Artik.

” Ahli sains meramalkan keseluruhan ais laut di Artik akan cair pada musim panas 2099 dan ia dijangka akan bermula mulai tahun 2050. Litupan ais Greenland dan Antartika Barat akan mencair . Paras laut akan meningkat kira-kira 7 meter secara mendadak,” katanya.

Beliau berkata perubahan suhu dan iklim dunia sudah tentu bakal mempengaruhi suhu serta iklim negara kita pada masa yang akan datang dan menjadi tanggungjawab seluruh rakyat negara ini memastikan tiada berlaku perubahan suhu yang terlalu mendadak di negara ini.

Katanya, kempen terbabit yang dianjurkan oleh PERKAM ini menjadi salah satu alternatif dalam usaha memastikan suhu dan iklim negara ini dalam keadaan terkawal walaupun dunia menghadapi pemanasan global.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *