Kerajaan berhasrat bina satu Pusat Rehabilitasi Perkeso di setiap negeri – Sivakumar

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kerajaan berhasrat untuk membina sekurang-kurangnya satu Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di setiap negeri di Malaysia.

Setakat ini terdapat satu sahaja pusat rehabilitasi iaitu Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka yang sudah beroperasi sejak 2014.

Manakala sebuah lagi pusat rehabilitasi sedang dibina di Bandar Meru Raya Ipoh, Perak dengan kos RM654 juta yang dijangka siap pada 2024.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata memang terdapat cadangan bagi pembinaan pusat rehabilitasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak namun perkara itu perlu diperhalusi kerana projek berkenaan memerlukan kos yang agak tinggi.

“Saya ada berbincang dengan Perkeso mengenai perkara ini tetapi kita kena faham ini adalah projek yang memerlukan kos tinggi, jadi satu perancangan yang lebih strategik perlu dilakukan.

“Memang itu hasrat saya kalau boleh setiap negeri perlu ada satu pusat rehabilitasi seperti ini tetapi kerana ia melibatkan kos yang terlalu tinggi dan besar maka ia masih dalam peringkat perancangan,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas meninjau pembinaan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Perkeso di Bandar Meru Raya Ipoh, pada Ahad.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Sivakumar memaklumkan projek pembinaan pusat rehabilitasi di Perak kini berada pada fasa pembinaan peringkat kedua iaitu Superstructure atau tahap 11.89 peratus siap.

Katanya, pusat itu juga menerima pesakit daripada luar negara serta mampu menampung 700 pesakit pada satu-satu masa.

Beliau yang sebelum itu melawat kediaman sementara pekerja (TLQ) projek tersebut amat berpuas hati dengan kemudahan dan fasilitii yang disediakan.

“Saya ingin menyarankan agar ia menjadi satu standard dalam penyediaan TLQ bagi pekerja-pekerja asing di Malaysia. Sebelum ini saya rasa kurang berpuas hati dengan kualiti penyediaan TLQ di beberapa tempat yang telah saya lawati.

“Penyediaan TLQ ini mematuhi standard dan memenuhi ketetapan keperluan oleh Jabatan Tenaga Kerja, selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].

“Kemudahan yang disediakan di TLQ ini meilputi asrama penginapan yang boleh memuatkan kapasiti maksima pekerja seramai 644 orang, kafetaria yang lengkap dengan tempat memasak dan membasuh pinggan mangkuk, tempat mandi yang bersesuaian dengan kapasiti asrama serta sebuah surau,” ujarnya.

#PerakKini #Perkeso #pusatrehabilitasi #BandarMeruRaya #Ipoh #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *