Kerajaan harus teliti tuntutan veteran ATM

Penyelaras MCA Parlimen Gopeng, Cally Ting Zhao Song.
Oleh Rosdalilah Zahari
GOPENG – Kerajaan harus meneliti tuntutan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perhimpunan aman di Tugu Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini supaya kebajikan mereka terbela.
Penyelaras MCA Parlimen Gopeng Cally Ting Zhao Song berkata, suara veteran ATM dalam perhimpunan ini mesti didengar dan diambil berat oleh kerajaan, khususnya Kementerian Pertahanan.
“Bagi saya, perhimpunan ini bermotif politik atau tidak bukan isunya dan tiada kaitan sekali pun dengan kebajikan veteran ATM.
“Kita tidak boleh biar wira dan wirawati yang banyak berjasa kepada negara terabai sampai berasa sendiri dianak tirikan,” katanya dalam satu kenyataan yang di Facebook beliau hari ini.
Cally Ting yang juga Ketua Biro Hubungan Etnik dan Agama MCA berkata kebajikan veteran ATM sepatutnya sama atau setanding dengan pesara-pesara sektor awam di negara kita.
“Veteran ATM yang setia kepada bangsa dan negara tidak mungkin akan turun berdemo kecuali sara hidup mereka terjejas dan mereka tiada pilihan lain untuk menyuarakan kesusahan yang dialami,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan harus mengambil inisiatif untuk meneliti dan mengkaji semula skim kebajikan veteran ATM yang sedia ada, sama ada masih relevan atau sudah ketinggalan zaman.
“Dalam suasana kadar inflasi tinggi yang berlaku di seluruh dunia, Kementerian Pertahanan bertanggungjawab memastikan kesejahteraan dan kebajikan veteran ATM terjamin.
“Kajian, ulasan dan rundingan dengan golongan veteran ATM harus dijalankan dengan segera oleh Kementerian Pertahanan dan seterusnya membentangkan cadangan penyelesaian yang sewajarnya, termasuk pindaan akta atau undang-undang sekiranya perlu supaya kebajikan ATM sentiasa terbela,” ujarnya.
Beliau turut menyeru para veteran ATM supaya memberikan kepercayaan kepada pimpinan Persatuan Veteran ATM (PVATM) dalam perundingan dengan Kementerian Pertahanan untuk kebajikan mereka.
“Seperti yang dimaklumkan oleh Presiden PVATM, Datuk Shaharuddin Omar, satu Jawatankuasa Khas Veteran telah ditubuhkan sejak Mac 2022.
“Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi mengkaji, meneliti secara terperinci mengenai masalah pencen dan ganjaran anggota ATM berpandukan kepada undang-undang serta peraturan sedia ada.
“Segala kajian dan rundingan dalam perkara ini harus disegerakan dan diutamakan oleh pihak kementerian,” katanya.
Isnin lalu, veteran ATM mengadakan perhimpunan secara aman di Tugu Negara selepas lapan tahun cuba menegakkan hak veteran mengikut saluran betul.
#PerakKini #veteran #ATM #MCAGopeng #Perak
