Kerajaan Perak sentiasa berusaha menyelesaikan isu hak milik tanah tertunggak sejak sekian lama

Foto: Korporat SUK Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kerajaan negeri Perak sentiasa berusaha untuk menyelesaikan isu hak milik tanah yang tertunggak sejak sekian lama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata berdasarkan semakan dengan pihak Pentadbiran Tanah di daerah-daerah, secara umumnya terdapat beberapa punca kelewatan pemprosesan permohonan tanah dan juga kelewatan pemprosesan pemberian hakmilik tanah berlaku.

Menurutnya, antara puncanya termasuklah permohonan yang tidak lengkap diterima serta kelewatan mengemukakan dokumen-dokumen sokongan yang yang berkaitan.

“Selain itu, prosedur pelupusan tanah perlu dipatuhi merangkumi keperluan laporan atau ulasan daripada jabatan dan agensi kerajaan lain, melibatkantempoh pemprosesan oleh jabatan teknikal bagi penyediaan laporan siasatan tanah dan ulasan jabatan teknikal serta proses penilaian yang membabitkan pihak Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Isu permohonan Kebenaran Merancang yang belum dimuktamadkan berikutan terdapat beberapa pindaan atau pematuhan yang perlu dilaksanakan oleh pihak juru ukur tanah/pemohon/ pemaju juga antara faktor kelewatan itu berlaku.

“Kos pembangunan infrastruktur di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT)/Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang belum mendapat kelulusan akibat kos pembangunan infrastruktur yang terlalu tinggi terutamanya bagi kerja-kerja menambak tanah turut menyebabkan proses pemberian kelulusan hak milik tanah terganggu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Muhammad Faisal Abdul Rahman (Pas-Trong) ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di sini, pada Selasa.

Saarani berkata terdapat banyak lagi faktor-faktor luar jangka lain yang tidak dapat dielakkan dan mempengaruhi tempoh pemprosesan permohonan.

“Bagaimanapun, data-data tunggakan permohonan tanah dipantau secara berkala oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian dan Pentadbir Tanah.

“Malahan juga, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Pasukan Pentadbir Tanah dari semasa ke semasa seperti mengadakan sesi perbincangan dengan pihak juru ukur atau jabatan lain yang berkaitan, mahupun pelbagai pendekatan lain dalam mempermudah proses permohonan ini, bagi memastikan kecekapan pengurusan permohonan tanah dapat ditingkatkan dan dipercepatkan,” katanya.

#PerakKini #SidangDunPerak #PTG #selesai #hakmilik #tanah #Perak

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *