KESATRIA Malaysia bela nasib penjawat awam

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kesatuan Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia (KESATRIA) komited dalam membela nasib penjawat awam yang berkhidmat di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negara ini.

Presidennya, Japri Bakri berkata segala langkah diambil bagi membela nasib penjawat awam mengikut kemampuan yang ada pada kerajaan.

Menurutnya, KESATRIA sentiasa bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) terutamanya dari segi meneliti penggajian penjawat awam.

“Kesatuan ini memberi ruang kepada penjawat awam untuk memberi pandangan dan cadangan agar penambah baikan dapat dilaksanakan antara pekerja (penjawat awam) dan majikan (kerajaan).

“Kita juga berharap supaya pihak berwajib dapat mengkaji semula tangga gaji bagi mereka yang berjawatan rendah dalam sektor awam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Perak Kini selepas menghadiri perasmian Mesyuarat Agung Tri Tahunan Kesatria Cawangan Negeri Perak Kali Ke-7 Bagi Penggal 2021-2024 di Hotel Seri Malaysia, pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman dan Pengerusi KESATRIA Cawangan Negeri Perak, Muhammad Mazran Ngah Abd Karim.

Dalam perkembangan sama, Japri berkata KESATRIA akan terus menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada ahli-ahli yang memerlukan dari semasa ke semasa.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin dalam mendengar rintihan serta menerima pandangan kami untuk dibawa ke dalam mesyuarat kabinet,” katanya.

Pengerusi KESATRIA Cawangan Negeri Perak, Muhammad Mazran Ngah Abd Karim (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Presiden KESATRIA Malaysia, Japri Bakri (tengah) sambil diperhatikan Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman (kanan) pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tri Tahunan Kesatria Cawangan Negeri Perak Kali Ke-7 Bagi Penggal 2021-2024 di Hotel Seri Malaysia, di sini.
Presiden KESATRIA Malaysia, Japri Bakri.
Tetamu kehormat yang hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tri Tahunan Kesatria Cawangan Negeri Perak Kali Ke-7 Bagi Penggal 2021-2024 di Hotel Seri Malaysia, di sini.
Sebahagian ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Tri Tahunan Kesatria Cawangan Negeri Perak Kali Ke-7 Bagi Penggal 2021-2024 di Hotel Seri Malaysia, di sini.

Sementara itu, Mazlan berkata kesatuan berhak untuk menilai insentif-insentif dari segi kebajikan, gred dan tangga gaji yang membolehkan penjawat awam untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

“Namun begitu dalam keadaan Covid-19, kesatuan juga memainkan peranan dalam mengambil berat tentang ahli-ahli yang bernaung di bawahnya.

“Justeru, KESATRIA perlu mengajak lebih ramai penjawat awam khususnya yang berkhidmat di bawah Kementerian Pertahanan untuk mendaftar menjadi ahli sebagai penanda aras untuk kesatuan pergi lebih jauh pada masa akan datang,” jelasnya.

Beliau juga turut memohon agar kerajaan untuk mengkaji semula pekerja kontrak yang telah lama berkhidmat  supaya diserap ke jawatan tetap dalam perkhidmatan awam.

KESATRIA Malaysia adalah sebuah kesatuan yang ditubuhkan bagi membantu penjawat awam yang berkhidmat dengan ATM dan setakat ini mempunyai ahli seramai 3,120 orang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *