Ketua Pembangkang Perak ni ‘nakal’ – Saarani

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria sebagai seorang yang ‘nakal’ selepas menyatakan bahawa Perikatan Nasional (PN) bersedia menghulurkan tangan penyatuan dan perpaduan kepada UMNO bagi membentuk kerajaan di Perak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
Menurutnya, keputusan PRN di enam negeri itu tiada kaitan langsung dengan Kerajaan Negeri Perak mahupun Kerajaan Persekutuan.
Malah, beliau yakin kestabilan dan kekukuhan kerajaan perpaduan yang dibentuk melalui gabungan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) di negeri ini terjamin.
“Ini percubaan ‘nakal’ Ketua Pembangkang Perak. Dia sahabat saya. Apa pun, kita harus ingat pembentukan Kerajaan Negeri Perak dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak. Jadi, tak ada kena mengena dengan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Kalau menang semua pun, tak ada kena mengena sebab pembentukan Kerajaan Persekutuan dibuat oleh ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya kepada media pada Rabu.
Dalam pada itu, Saarani memaklumkan bahawa beliau sudah bertemu dengan sembilan ADUN BN semalam dan akan berjumpa semua 59 ADUN di negeri ini pada Khamis.
“Tak ada tanda-tanda akan berlaku apa-apa lompat sana sini dan kepada peniaga-peniaga dan orang-orang yang nak melabur, saya nak bagi jaminan bahawa Perak stabil,” katanya.
#PerakKini #UMNOPerak #KerajaanPerpaduan #PerikatanNasional #RBZ
