KLK tawar 800 peluang pekerjaan

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH KL-Kepong (KLK) Rubber Products Sdn Bhd menawarkan 800 peluang pekerjaan sebagai operator pengeluaran bagi mengisi kekosongan untuk kilang baharu mereka di Bercham yang bakal beroperasi awal tahun hadapan.

Pengurus Sumber Manusianya, Mohamad Azahari Md Yatim berkata sebanyak lima lokasi temuduga terbuka akan dilaksanakan pada Sabtu dan Ahad ini bagi memberi peluang kepada mereka yang berusia antara 18 hingga 35 tahun untuk memohon jawatan yang ditawarkan itu.

Pengurus Sumber Manusia KLK Rubber Products Sdn Bhd, Mohamad Azahari Md Yatim.

Menurutnya lokasi temuduga itu adalah di Dewan dan Perpustakaan Komuniti Tambun; Dewan Orang Ramai (DOR) Taman Mewah, Bercham dan DOR Taman Berjaya, Tanjung Rambutan pada Sabtu.

“Manakala, dua lagi lokasi temuduga terbuka akan diadakan di DOR Desa Perwira, Taman Ipoh Jaya dan DOR Dato Azumu Kampung Kepayang, Fair Park pada Ahad bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

“Kita menyasarkan seramai 150 pekerja akan diambil bekerja di kelima-lima lokasi temuduga terbuka itu,” katanya kepada Perak Kini pada Sabtu.

Mohamad Azahari berkata, sebanyak 20 lokasi temuduga terbuka akan dilaksanakan di sekitar bandar raya ini secara berperingkat bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

“Pelbagai faedah akan diberikan jika diterima bekerja di sini antaranya termasuklah elaun pengangkutan, elaun shif, kantin, surau dan bonus tahunan mengikut prestasi kerja masing-masing.

“Malah, pekerja kami turut mendapat bonus purata dua bulan gaji walaupun kilang ini terkesan akibat pandemik Covid-19,” jelasnya yang memaklumkan kilang terbabit menawarkan gaji kasar sebanyak RM1,700 untuk jawatan operator pengeluaran.

Sementara itu, Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman amat mengalu-alukan orang ramai yang kehilangan pekerjaan akibat Covid-19 atau yang masih tercari-cari kerja untuk hadir ke temuduga terbuka itu.

Katanya, ini adalah peluang terbuka dan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta untuk mendapatkan pekerjaan.

“KLK menawarkan inisiatif baik dengan memberi ruang dan peluang kepada orang ramai terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan akibat wabak Covid-19 serta anak muda yang masih mencari kerja,” ujarnya.

Untuk makluman KLK mempunyai kilang pembuatan sarung tangan getah bagi industri dan kegunaan rumah di Bercham dengan kekuatan pekerja kira-kira 540 orang.

Sebuah kilang baharu turut dibina berhampiran kawasan sama bagi pembuatan sarung tangan getah perubatan yang dijangka akan beroperasi awal tahun hadapan serta membuka peluang pekerjaan kepada lebih 800 orang sekitar Ipoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *