Bekas Jurutera Jual Pekasam

BATU KURAU – Begitulah kata pepatah, kalau usaha tak kenal jemu, kejayaan pasti akan bertemu. Rezeki akan sentiasa ada dari Yang Maha Kuasa, asalkan kita terus berusaha dan berdoa. Di mana sahaja kita berada, rezeki akan turut bersama kita. Itulah yang telah dilalui oleh bekas penolong jurutera di sebuah syarikat yang sanggup berhenti kerja dengan gaji yang lumayan kerana yakin rezekinya ada dalam bidang perniagaan pekasam.

Norfaizati Zulkifli, 32, anak kelahiran Batu Kurau memulakan bisnes pekasamnya sejak 3 tahun yang lalu. Namun, bisnes pekasam bukanlah asing baginya kerana sejak 30 tahun dahulu ayahnya telah memulakan bisnes pekasam secara kecil-kecilan di kampungnya. Tetapi pada era ayahnya, pekasam yang ada cuma pekasam ikan sungai.

“ Zaman ayah buat pekasam dulu, hanya ada pekasam sungai sahaja. Tetapi apabila saya mengkomersilkan pekasam resepi ayah dan idea tambahan saya, saya telah mencipta pelbagai lagi jenis pekasam seperti pekasam daging, pekasam telur sotong, pekasam ayam, pekasam perut lembu, pekasam ikan gelama, pekasam tengas dan pekasam kambing.”

“Ternyata ianya mendapat sambutan yang luar dugaan. Mula-mula saya cuma bisnes dengan kawan-kawan dan jiran, tetapi apabila saya promosikan di media sosial, pekasam saya telah mendapat sambutan di seluruh Malaysia.”, ujarnya bersemangat.

Produk pekasam keluaran syarikatnya atas jenama Pekasam Sri Cempaka HQ kini telah mempunyai ramai agen dan stokis di seluruh negara.

Pekasam juga enak apabila digoreng bersama petai
Pekasam daging antara produk terlaris keluaran Pekasam Sri Cempaka
Antara agen yang sering datang mengambil sendiri produk di Pekasam Sri Cempaka HQ
Pekasam telur sotong

“Alhamdulillah, sambutannya sungguh luar dugaan. Ramai yang berminat menjadi agen pekasam saya di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pantai Timur dan banyak tempat lagi. Dengan kemajuan itu, saya bersyukur kerana sudah dapat membina pusat pemprosesan pekasam sendiri secara sistematik,” ujar Norfaizati dengan penuh kesyukuran.

Norfaizati terus optimis agar pekasam keluaran syarikatnya bukan sahaja ‘menguasai’ pasaran di dalam negara, namun dia bercita-cita mengembangkan empayar pekasamnya hingga ke luar negara.

“Insya Allah, itulah harapan saya. Zaman sekarang tidak ada yang pelik, dengan dunia digital yang tanpa sempadan dan ruang promosi yang tepat dan berkesan, saya berharap produk pekasam saya akan dimakan oleh orang luar negara,” ujar Norfaizati ketika ditemui wartawan Perak Kini.

Kepada sesiapa yang berminat untuk merasai keenakan pekasam keluaran Pekasam Sri Cempaka atau menjadi agennya, bolehlah menghubungi Norfaizati sendiri di talian 019-446 0097

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *