MBI, Econsave santuni OKU sempena Hari OKU Sedunia

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – “Syukur Alhamdulillah dan terima kasih di atas bantuan barangan dapur yang disumbangkan pada hari ini. Bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban saya serta anak yang menghidap cerebral palsy,” luah Jumiah Ahmad, 62, di kediamannya di Taman Desa Tambun, pada Ahad.

Ibu kepada Mior Azraei Mior Rusli, 28, telah banyak berkorban masa dan tenaga demi menjaga anak istimewanya sejak dari kecil.

Menurutnya, dia perlu memberi perhatian penuh kepada anaknya yang tidak mampu untuk bercakap, berjalan, menukar lampin pakai buang serta perlu menguruskan makan minum setiap hari.

Dia yang kehilangan suami akibat penyakit kanser kira-kira tujuh tahun lalu turut tabah dalam menempuhi hari-hari mendatang bagi menjaga anaknya supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat.

“Saya sebenarnya tidak berharap apa-apa, cuma perlu makanan kesihatan untuk diri saya dan meminta doa daripada semua kerana saya tiada pengganti (untuk menjaga anak),” ujar ibu kepada dua cahaya mata itu.

Katanya, sebelum ini anak bongsunya banyak membantunya bersama-sama menguruskan anak sulungnya itu tetapi kini dia perlu melakukannya sendiri kerana anak bongsunya baru mendapat pekerjaan di Kedah.

“Sepanjang menjaga anak, saya ikut nasihat doktor dengan membawanya untuk mendapatkan rawatan sama ada di hospital atau klinik kesihatan.

“Kami juga bersyukur kerana anak saya ini jarang sakit,” katanya yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak kesayangannya itu.

Seorang lagi penerima, Azman Mohd Tahir, 44, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berbesar hati memberikan sumbangan serta prihatin di atas nasib yang menimpanya.

Dia yang mengalami lumpuh sebelah kanan badan akibat kemalangan jalan raya kira-kira 28 tahun lalu mempunyai pergerakan yang terbatas dan sering dibantu ibunya, Siti Aminah Asan, 68, untuk menjalani kehidupan harian.

Lebih menyedihkan dia sekali lagi ditimpa kemalangan dua minggu lalu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas solat Isyak di masjid dan mengalami kecederaan di kaki kanan.

“Buat masa ini saya tak buat apa-apa, mujur masih ada yang sudi tampil membantu,” katanya ketika ditemui di Rancangan Perumahan Awam (RPA) 2, Ulu Kinta.

Penerima bantuan terdiri daripada OKU di DUN Hulu Kinta yang menerima sumbangan barangan dapur sempena Hari OKU Sedunia.
Penerima bantuan, Azman Mohd Tahir, 44, yang lumpuh bahagian kanan badan akibat kemalangan.
Jumiah Ahmad (kiri) bersama anak lelakinya, Mior Azraei Mior Rusli yang menghidap celebral palsy di kediamannya di Taman Desa Tambun, di sini.
Penerima bantuan terdiri daripada OKU di DUN Hulu Kinta yang menerima sumbangan barangan dapur sempena Hari OKU Sedunia.

 

Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada Che Hafizi Che Omar yang mengalami Sindrom Down sambil diperhatikan Pengurus Econsave Cawangan Bercham, G V Rakhesh (kanan).

Sementara itu, Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abdul Rahman ketika ditemui berkata sumbangan ini diberikan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta di bawah program MBI Prihatin dengan kerjasama Pasar Raya Econsave Bercham bersempena sambutan Hari OKU Sedunia baru-baru ini.

Menurutnya, bantuan itu disampaikan bagi mengurangkan beban mereka untuk menjalani kehidupan harian.

Katanya, pihaknya akan terus menjalankan program seumpamanya bagi membantu pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur dari semasa ke semasa.

“Sempena Hari OKU Sedunia, kita bersama-sama menyantuni golongan OKU kerana mereka juga masyarakat yang perlu diraikan.

“Seperti hari ini kita lihat seorang makcik menjaga anak menghidap celebral palsy serta mempunyai pergerakan yang agresif. Jadi marilah kita mendoakan kesihatan dan kesejahteraan makcik ini supaya dapat terus menjaga anaknya dengan baik,” katanya.

Turut hadir menyampaikan bantuan barangan dapur pada hari ini adalah Pengurus Econsave Cawangan Bercham, G V Rakhesh; Ketua Kampung Tanjung Rambutan, Ayob Zenal dan Ketua Kampung Melayu Batu 8, Mohd Zainudin Abdullah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *