‘Mungkin Pilihan Raya terakhir saya’ – Calon BN Kampar

Datuk Lee Chee Leong (dua dari kiri) - Foto Facebook Lee Chee Leong

KAMPAR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kampar Datuk Lee Chee Leong memberi bayangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin merupakan percubaan terakhir beliau untuk mendapat mandat rakyat selepas kekalahan berturut-turut pada PRU13 dan PRU14.

Lee yang memenangi kerusi parlimen berkenaan pada 2008 berkata sekiranya dipilih, beliau akan memenuhi impiannya untuk membina sebuah hospital di Kampar bagi manfaat pengundi.

“Sebagai wakil rakyat, anda bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya akan berkhidmat untuk lima tahun lagi. Sekiranya saya tidak dipilih maka setakat itu sahaja. Apa saya boleh buat?” katanya kepada Bernama.

Lee berdepan saingan empat penjuru antara Wong Oi Foon (PN-Gerakan), Ching Zhemin (PH-DAP) dan Leong Cheok Lung (Warisan) pada 19 Nov ini.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Kampar dimenangi Thomas Su Keong Siong daripada DAP dengan majoriti 11,801 undi menewaskan Lee dan calon PAS, M. Yougan.

Sementara itu, Lee turut meningkatkan jejak digital dengan kempen menerusi media sosial sebagai usaha memikat pengundi muda terutama pengundi kali pertama.

“Sila keluar mengundi. Undilah seseorang yang boleh membawa pembangunan kepada Kampar. Semak rekod mereka dan bandingkan dengan pembangkang,” katanya.

Kampar mempunyai seramai 89,894 pengundi berbanding 69,436 pengundi pada PRU14. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *