PN Perak umum calon minggu depan, Bersatu dijangka bertanding lebih banyak kerusi di Parlimen

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka akan bertanding lebih banyak kerusi Parlimen di Perak, berbanding rakan komponen Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata bagaimanapun bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pengagihan kerusi dilihat agak setara antara parti komponen terbabit.

“Saya nampak pengagihan kerusi DUN agak setara tetapi di Perak ini Bersatu akan bertanding lebih kerusi di Parlimen berbanding daripada gabungan Pas dan GERAKAN.

“Gabungan calon-calon yang kita akan tawarkan kepada rakyat di kerusi DUN dan Parlimen adalah dalam kalangan anak Perak yang berpengalaman.

“Dalam kalangan calon yang baru pula terdiri daripada golongan professional dan juga penggiat politik, lelaki, wanita, tua, muda yang merangkumi semua kaum dan agama.

“Kebanyakan calon adalah orang tempatan. Jadi, kita di belah Kuala Kangsar ke bawah kita tetap pastikan calon yang minum ‘ayor’ untuk Taiping ke atas kita bagilah mereka yang minum ‘ayaq’ jadi calon.

“InsyaALLAH kita nak persembahan satu senarai yang boleh kita sandarkan untuk membolehkan kita menubuhkan kerajaan di Perak dan berkhidmat di peringkat pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Azumu Impian Meru, pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal berkata PN Perak akan mengumumkan calon pada minggu hadapan.

#PerakKini #PerikatanNasional #Bersatu #Pas #GERAKAN #PRU15 #Perak

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *