PRN: UMNO jangan ulang ‘sejarah’ buruk PRU15, mohon dengar suara akar umbi bukan pengampu
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – UMNO perlu mendengar suara di peringkat akar umbi supaya ‘sejarah’ kekalahan besar sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu tidak berulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri Julai depan.
Bekas Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pada PRN akan datang beliau memohon supaya parti itu menyemak dan memperhalusi segala perkara yang disampaikan di peringkat akar umbi dan bukan setakat mendengar cakap-cakap orang tertentu sahaja.
“PRN saya mohon check (semak) betul-betul peringkat akar umbi, jangan dengar dua ke tiga orang bercakap sahaja yang kebanyakannya hanya jadi pengampu dan penyokong.
“Semasa PRU15, semua sudah dapat maklum balas dari peringkat bawah bahawa kita ada masalah, tetapi kita tak mahu dengar kononnya UMNO kuat dan boleh menang.
“Sekali kalah kerana jentera pilihan raya ketika itu tidak mendalami kemahuan dan masalah di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau ditemui media ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TT Group Companies di Taj International College (TIC) di sini, pada Ahad.
Tajuddin yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata perlu wujud gerakan yang boleh membangkitan semangat dan keyakinan pengundi terhadap parti keramat orang Melayu itu.
“Lepas Perhimpunan Agung UMNO, buatlah gerakan yang boleh membangkitan semangat dan memberi keyakinan kepada orang Melayu.
“Selagi keyakinan dan kepercayaan kepada parti tidak dapat dikembalikan kepada pengundi, kita tidak boleh menang,” jelasnya.
Beliau berkata walaupun keahliannya digantung sebagai orang Melayu beliau masih ada hak untuk menyeru supaya kepimpinan menangkan parti itu kerana orang Melayu bergantung kepada UMNO.
“Walaupun sekarang UMNO terpaksa bekerjasama dengan DAP, kita perlu bangkit semula dan berdiri tegak atas kaki kita sendiri seperti dulu,” ujarnya.
#PerakKini #UMNO #PRN #RBZ