PROGRAM PERARAKAN MERDEKA @PUO DAN CHIT – CHAT BELIA 2025

IPOH – Sempena sambutan hari kebangsaan yang bakal tiba, Politeknik Ungku Omar ( PUO ) telah melaksanakan perarakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, melibatkan penyertaan seramai 2,000 orang pelajar terdiri dari kalangan kakitangan serta siswa – siswi PUO secara keseluruhannya.
PUO juga turut berkolaborasi bersama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Komuniti Madani Canning, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ipoh Timor (DUN Canning), Jabatan Penerangan Perak, Jabatan Penyiaran Perak, Akademi Kenegaraan Malaysia (Perak) dan dikendalikan oleh Jawatankuasa Perwakilan Pelajar serta Sekretariat Rukun Negara PUO.
Program ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (ADUN) Canning, Jenny Choy Tsi Jen bertempat di Dewan Jubli Perak PUO pagi Selasa.
Turut mengiringi Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How , Pengarah Penerangan Perak, Yosri Abu Mahsin, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Perak, Mansor Mohd Hashim, Pengarah Penyiaran Perak, Karim Sadiran, Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Perak, Haslizar Rozally serta Timbalan Pengarah Akademi PUO, Norman Zamri.
Didalam ucapannya Jenny berkata, program ini bukan sahaja sebuah perarakan atau pertandingan menghias kenderaan, tetapi ianya merupakan platform memperkukuh semangat patriotisme, nasionalisme, dan kecintaan terhadap negara serta melambangkan kekuatan kerjasama antara pelajar, staf dan masyarakat.
” Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini bukan datang bergolek, tetapi ianya hasil pengorbanan dan perjuangan para tokoh terdahulu.
“Justeru, program seperti ini amat penting sebagai satu bentuk penghayatan sejarah, penghargaan jasa pejuang, dan penyuburan semangat cinta akan tanah air ,” ujar beliau.
Usai perasmian program ianya diteruskan dengan sesi Chit – Chat Belia 2025 bersama panel undangan serta penyampaian cek cura kepada Timbalan Pengarah PUO dengan jumlah sumbangan bernilai RM6000.





