PRU15: Amanah Perak yakin PH capai kemenangan besar

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak bersama komponen di dalam Pakatan Harapan (PH) bersepakat untuk satu tujuan bagi memperoleh kemenangan maksimum pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata Perak yang menjadi negeri barisan hadapan serta dengan kehadiran Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Parlimen Tambun, gelombang sokongan rakyat di negeri ini dilihat semakin meningkat dari sehari ke sehari.

“Kita ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat di Perak bahawa PH akan kekal utuh sebagai satu pasukan dalam gerak kerja pilihan raya dan berada dalam landasan yang tepat untuk mencatat kemenangan dalam PRU kali ini.

“Kesemua calon yang diketengahkan sudah mula bergerak dan turun ke lapangan bagi memperkenalkan diri serta memberi penerangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan pihak lawan termasuk membentangkan gagasan PH kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, melalui maklum balas yang diperoleh di lapangan, sokongan kepada PH mendahului parti-parti lain di sebahagian besar kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Perak.

“Justeru, momentum ini perlu diteruskan bagi memastikan PH menang majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan.

“Sehubungan itu, seluruh jentera Amanah Perak dan PH digesa untuk mempertingkatkan lagi gerak kerja di lapangan dan ruang maya kepada semua segmen pengundi di negeri ini.

“Bagaimanapun, masih ada percubaan musuh politik yang berterusan memainkan sentimen bangsa dan agama yang sempit dalam kempen-kempen mereka amat dikesali kerana tohmahan dan tuduhan liar yang dilemparkan jelas berbaur fitnah, semata-mata untuk mendapat perhatian pengundi khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

“Dalam memerangi hal ini kami menyeru kepada semua pengundi untuk menilai secara objektif, gagasan yang kami kemukakan dan rekod perkhidmatan yang kami capai semasa kami mentadbir Perak,” katanya.

Asmuni berkata fokus utama gerak kerja Amanah dan PH di Perak AMANAH adalah bagi mengembalikan mandat rakyat yang dikhianati pada yang lalu serta mencipta sejarah dengan memastikan Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10.

#PerakKini #Amanah #PakatanHarapan #PH #PRU15

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *