PRU15: DUN Perak belum bubar

Saarani (tengah) pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak hari ini.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyembah warkah permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 untuk pertimbangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaras dengan Fasal (2), Perkara 36 Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan pada petang tadi.
Beliau menghadap Sultan Perak kira-kira jam 2.30 petang tadi di Istana Kinta.
Menurutnya, pada sesi menghadap tersebut, Tuanku bertitah bahawa akan mengambil maklum mengenai permohonan yang dikemukakan dan akan membuat pertimbangan sewajarnya.
“Oleh yang demikian, sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN Perak akan diumumkan selepas Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan membuat keputusan,” katanya.
Saarani berkata demikian pada satu sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang diadakan sejurus selepas beliau selesai menghadap Sultan Perak.
Berikutan itu, program di bawah pentadbiran kerajaan negeri Perak berjalan seperti biasa sehingga ketetapan diperoleh daripada Baginda.
#PerakKini #PRU15
