PRU15: Kayveas sah bertanding kerusi Parlimen Ipoh Barat

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Desas desus berhubung Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP), Tan Sri M Kayveas yang menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Barat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akhirnya terjawab.

Pengerusi MyPPP Perak, A Iruthiyam Sebastiar mengesahkan bahawa Kayveas akan bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Barat melalui satu sidang media bagi mengumumkan calon PRU15 yang diadakan di Buntong, di sini petang tadi.

Beliau juga memaklumkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong pada PRU ini.

Katanya, MyPPP hanya meletakkan calon di Perak sahaja kerana parti itu ditubuhkan di Buntong.

Bagaimanapun, beliau berkata mereka akan bertanding di atas tiket bebas.

“Selepas mengadakan mesyuarat beberapa kali bersama jawatankuasa induk dan jawatankuasa negeri kami telah membuat keputusan dukacitanya kami tidak boleh bertanding di atas logo parti kerana ada masalah.

“Justeru, kami sebulat suara bersetuju MyPPP bertanding dua kerusi sahaja. Buat masa ini kami membuat keputusan untuk bertanding bebas,” jelasnya.

Beliau berkata MyPPP ada mengadakan perbincangan dengan beberapa parti namun setakat ini mereka membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti lain.

“Kenapa pilih bebas dan tidak parti lain? Ada perbincangan dilakukan dengan parti lain tapi ini pendirian kami pada masa ini.

“Jadi kami berdiri sebagai bebas untuk bebas berfikir dan bersuara,” jelasnya.

#PerakKini #MyPPP #DunBuntong #ParlimenIpoat #PRU15

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *