PRU15: PKR Perak hasrat tanding lebih 14 kerusi DUN
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak berhasrat
meletakkan lebih 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, Chang Lih Kang berkata pada PRU14 yang lalu mereka bertanding 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memenangi empat daripadanya.
Menurutnya, rundingan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi PRU15 sudah selesai antara 80 ke 90 peratus setakat ini.
“Rundingan untuk DUN 80 ke 90 peratus sudah selesai manakala rundingan kerusi pada peringkat pusat akan bermula perbincangan pada hari Khamis ini.
“Jadi, kita berhasrat untuk menang sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan Barisan Kepimpinan Baharu MPN PKR Perak Sesi 2022-2025 di sini, pada Isnin.
Pada PRU14 lalu, PKR Perak memenangi empat daripada 14 kerusi DUN yang dipertandingkan iaitu di Hulu Kinta, Simpang Pulai, Teja dan Kuala Kurau.
Sementara itu, Lih Kang berkata pelantikan MPN Perak yang diumumkan pada hari ini sudah mendapat persetujuan daripada Presiden dan Biro Politik parti berkenaan jadi tiada isu berbangkit yang timbul.
#PerakKini #PKR #PRU15 #Perak