Radio TV Batu Kurau ada peminat seluruh dunia

Oleh USU AZHA HAJI HAMZAH
BATU KURAU – Stesen radio live streaming, Radio TV Batu Kurau (RTVBK) mengorak kejayaan selangkah lagi apabila tertubuhnya Kelab Peminat RTVBK (Fansclub RTVBK) baru-baru ini. RTVBK yang memulakan siaran langsungnya setiap hari bermula awal 2019 dahulu, kini menjadi antara stesen radio live yang ramai pengikutnya.
RTVBK telah ditubuhkan atas inisiatif anak-anak jati Batu Kurau untuk mempromosikan bahasa dan budaya setempat yang terkenal dengan dialek Melayu Patani-nya. Permulaanya, siaran live RTVBK banyak dikuti oleh anak-anak tempatan Batu Kurau dan juga ‘adik-beradik’ mereka seperti di daerah Baling, Sik, Kuala Ketil (Kedah) serta dari Gerik, Lenggong, Pengkalan Hulu dan Selama di Perak. Namun lama-kelamaan, stesen live RTVBK ini berjaya menambat hati pendengar dari daerah lain dan juga dari mereka yang tinggal di luar negara.
Apabila pengikut RTVBK sudah berkembang jauh, maka antara sesama pengikut RTVBK telah menubuhkan sebuah kelab yang digelar ‘FansClub RTVBK’. Ramai pendengar RTVBK mengikuti siaran dari Sweden, Australia, Ireland, USA, Arab Saudi, Vietnam, Indonesia dan banyak lagi.
Fansclub RTVBK dipimpin oleh saudara Buhairi Yaakob yang kini tinggal di Doha, Qatar dan mempunyai mempunyai ahli jawatankuasa yang bekerja keras untuk memastikan objektif penubuhan fansclub ini berjaya.

Program pertama Fansclub RTVBK ialah menganjurkan pertemuan mesra silaturahim antara semua pendengar RTVBK di Batu Kurau bermula 6-7 November ini.
“Saya rasa dengan penubuhan fansclub ini, ianya dapat lagi mengeratkan silaturahim antara kami pendengar setia dan tegar RTVBK. Walaupun atas nama Radio TV Batu Kurau, namun peminat RTVBK berada di seluruh dunia. Selama ini mereka hanya bertemu di alam maya sahaja, tetapi kali ini mereka akan bertemu berpandang mata,”ujar Buhairi.
Program perjumpaan silaturahim fansclub ini akan diadakan selama 2 hari dan pelbagai aktiviti akan dilakukan seperti berkelah, mandi lata sungai, makan masakan kampung dan berkaraoke.
Menurut Pengurus Besar Radio TV Batu Kurau, Zaini Zolaawal, pihak pengurusan RTVBK menyambut baik kedatangan kelab peminat RTVBK ini kerana selama ini mereka hanya berbual dan bersembang di dalam live dan grup whatsapp sahaja.

“Kami di pihak pengurusan RTVBK berbesar hati dengan kehadiran peminat RTVBK dari seluruh Malaysia ke Batu Kurau dan amat berterima kasih kepada ahli jawatankuasa kelab peminat RTVBK kerana berusaha keras menjayakan program ini,”
“Kehadiran peminat RTVBK ke Batu Kurau bukan sahaja dapat menyemarakkan lagi hubungan antara RTVBK dan peminat, tetapi juga dapat membantu mempromosikan daerah Batu Kurau ke mata orang luar. Semoga usaha murni ini dapat kebaikannya,”ujar Zaini Zolaawal.
RTVBK bersiaran setiap malam di konti studio yang berpangkalan di Pantai Besar, Batu Kurau dan dikendalikan oleh dua juruhebah tersohor iaitu DJ Salim dan DJ Awang. Kedua-dua juruhebah ini telah mencipta nama sebagai juruhebah yang banyak menggunakan dialek Melayu Patani Batu Kurau.


“Kami membawa nama dialek Melayu Patani kepersada dunia kerana mahukan bahasa ibunda kami ini tak tenggelam dek zaman. Kami mahu atas nama Radio TV Batu Kurau, kami dapat menyatu padukan pendengar dari pelbagai ideologi, fahaman politik, kaum dan agama,” ujar Awang DJ yang juga terkenal sebagai duta bahasa Batu Kurau.
