Rakyat pasti kecewa jika Najib dibebaskan – Tun M
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – “Tapi kalau tanya orang ramai, jika Najib dibebaskan setelah mencuri berbilion ringgit, menipu, bercakap bohong, orang macam ini dilepas… dibebas, akan kecewalah rakyat,” kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas reaksi rakyat jika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan rasuah dibebaskan.
Menurutnya, tidak dinafikan Najib boleh dibebaskan dengan bantuan orang-orang berkuasa dan berpengaruh.
“Memang ada orang berkuasa yang boleh bebaskan Najib sama ada dia, nak bebaskan Najib itu terpulang kepada dialah..bukan saya yang tentukan.
“Bagaimanapun, langkah pertama adalah Perdana Menteri mesti mengemukakan kepada Yang Dipertuan Agong permohonan untuk membebaskan Najib dan Agong boleh buat apa saja keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Jelajah Sayang Bangsa Negeri Perak di Pasir Puteh, di sini, malam tadi.
Dr Mahathir turut menegaskan perbicaraan selama empat tahun di tiga mahkamah melibatkan sembilan Hakim secara terang-terangan membuktikan Najib bersalah atas tuduhan rasuah.
“Mereka (Hakim) membuat keputusan berasaskan kepada bukti bukti yang jelas yang ditunjuk di dalam mahkamah, namun apa yang dijawab oleh Najib ialah ini semua tak betul.
“Semua ini semua bohong kononnya duit yang dia (Najib) dapat RM2 bilion diberi Raja Arab Saudi tapi bila hantar tiada bukti yang menunjukkan dia dapat duit dari Arab Saudi.
“Bukti yang ada ialah duit itu datang dari 1MDB melalui Jho Low, semua itu ada rekod tapi Najib kata semua ini bohong semua ini menganiaya dia.
“Kalau ini menganiaya dia, kita tak payah ada mahkamahlah. Sampai empat tahun bicara, tiga mahkamah, sembilan hakim pendapat tak ada satu pun yang berlainan, “kata Ahli Parlimen Langkawi itu.
#PerakKini #Pejuang #TunM #NajibTunRazak #Ipoh #Perak