
JOHOR BAHRU: Gerakan Reset Johor mengumumkan kesediaan penuh untuk mentransformasikan keseluruhan 26 bahagiannya di negeri ini ke dalam Parti Wawasan Negara (WAWASAN) susulan peluncuran parti tersebut oleh Mantan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainudin, di Konvensyen Reset yang berlangsung di Tanah Merah pada Sabtu.
Penyelaras Gerakan Reset Johor, Zulkifli Bujang berkata, langkah itu merupakan kesinambungan perjuangan yang diasaskan menerusi Gerakan Reset Malaysia bagi membawa agenda perubahan dan pembaharuan negara secara lebih tersusun menerusi platform politik yang sah.
Menurut beliau, penubuhan Parti Wawasan Negara membuka lembaran baharu kepada perjuangan yang sebelum ini berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat yang mahu melihat Malaysia dibangunkan berteraskan keadilan, kesejahteraan dan tadbir urus yang lebih baik.

“Perjuangan melakukan pembaharuan memerlukan sebuah wadah politik yang mampu menterjemahkan idea dan gagasan kepada dasar serta tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Parti Wawasan Negara bukan sekadar sebuah parti politik baharu, sebaliknya merupakan kesinambungan langsung kepada perjuangan Reset yang telah digerakkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua gerakan tersebut berkongsi matlamat yang sama iaitu memperbetulkan sistem yang memerlukan pembaharuan selain membina Konsensus Nasional Baharu yang mampu menyatukan rakyat pelbagai latar belakang.
Katanya, transformasi Gerakan Reset ke dalam Parti Wawasan Negara dijangka memperkukuhkan lagi kekuatan gerakan tersebut di seluruh negara.
“Dengan kekuatan jentera di 26 bahagian seluruh Johor, kami bersedia bergerak seiring dengan kepimpinan Dato’ Seri Hamzah Zainudin bagi membina Malaysia yang lebih harmoni, progresif dan makmur.
“Keutamaan kami kekal sama, iaitu memastikan suara serta kepentingan rakyat sentiasa menjadi agenda utama perjuangan,” katanya.
Menurut beliau, perjuangan yang dimulakan melalui Gerakan Reset tidak pernah terhenti, sebaliknya kini memasuki fasa baharu dengan hala tuju yang lebih jelas, tersusun dan berfokus.
“Perjuangan ini bukan berakhir, tetapi sedang memasuki babak baharu yang lebih besar,” katanya.