RUU Anti Lompat Parti: Bukti UMNO memelihara mandat rakyat

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti yang diluluskan pada Khamis lalu membuktikan usaha UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memelihara mandat rakyat sudah mula menampakkan hasil.

Exco Pemuda UMNO, Faridzul Azlan berkata Pemuda UMNO menyokong penuh usaha baik ini dan berharap RUU tersebut dapat dilaksanakan dengan segera sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita (Pemuda UMNO) berharap RUU ini mendapat kerjasama daripada kerajaan-kerajaan negeri supaya dapat meminda perlembagaan masing-masing bagi membolehkan peraturan berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, rakyat perlu memahami bahawa UMNO tetap berpendirian tegas dalam memastikan hak rakyat terpelihara sejak daripada peristiwa ‘Langkah Sheraton’ yang membabitkan sekumpulan besar Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mula melompat parti sehingga menumbangkan kerajaan mereka (PH) sendiri.

“Sejak awal lagi UMNO sudah berpendirian untuk mengembalikan hak rakyat dengan mengadakan PRU bagi menentukan ketidakstabilan kerajaan ketika itu.

“Bagaimanapun, disebabkan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara, UMNO dan BN akur untuk bergabung bersama parti lain bagi membentuk kerajaan walaupun pada awalnya dipimpin oleh Pardana Menteri yang bukan daripada parti BN,” ujarnya.

Faridzul yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun berkata, selaku parti tertua di Malaysia sudah pasti UMNO matang dalam merangka solusi dan strategi bagi mengembalikan kuasa dan hak rakyat selaku pengundi agar terus terpelihara dibawah sistem demokrasi berparlimen.

“Usaha UMNO dan BN bagi memastikan RUU Anti Lompat Parti mendapat sokongan 209 ahli Parlimen bukan satu langkah.

“Namun atas kesungguhan serta kebijaksanaan UMNO dalam menyakinkan ahli Parlimen lain berjaya membuktikan yang UMNO sentiasa berusaha untuk memelihara mandat rakyat.

“Semoga usaha ini dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi negara,” katanya.

#PerakKini #RUU #AntiLompatParti #PemudaUMNO #sokong #Malaysia

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *