Sambutan Bulan Kesedaran OKU Perak tekankan inklusiviti dan advokasi komuniti

TANJONG MALIM — Sambutan Bulan Kesedaran OKU Peringkat Negeri Perak 2025 yang berlangsung dari 3 November hingga 5 Disember diadakan bagi mengukuhkan kefahaman masyarakat terhadap hak, keperluan dan potensi golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata sambutan kali ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi melibatkan pelaksanaan program berimpak tinggi merangkumi pendidikan, advokasi dan penglibatan komuniti.

“Sambutan ini adalah usaha berterusan untuk memupuk masyarakat inklusif, penyayang dan saling menghormati,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Beliau berkata kerjasama melibatkan Wanita Perak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Centre for Inclusive Research on Community and Disability (CIRCLE) UPSI serta agensi dan NGO lain membuktikan agenda inklusiviti adalah komitmen bersama, selaras aspirasi Perak Sejahtera.

Antara pengisian utama ialah Bengkel Kemahiran Asas Bahasa Isyarat, Bengkel Asas Braille dan Program Sentuhan Istimewa: Kesenian Batik Clay OKU yang bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat serta memperkasakan potensi seni golongan OKU.

“Siri podcast advokasi “Nadi CIRCLE” turut dianjurkan bagi membincangkan hak dan cabaran komuniti OKU bersama tokoh serta pakar berkaitan.

“Selain itu, pada 22 November pula akan diadakan aktiviti Inclusive Run: Beyond Limits bagi meraikan kepelbagaian kebolehan dan menggalakkan penyertaan masyarakat umum bersama komuniti OKU.

Tambah beliau, bagi memastikan akses maklumat setara, khutbah Jumaat pada 5 Disember di Masjid Al-Mursyidin, UPSI akan disampaikan dengan bantuan Penterjemah Bahasa Isyarat.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, universiti itu komited menyokong agenda inklusif negeri melalui peranan CIRCLE UPSI sebagai pusat rujukan dan penyelidikan berkaitan komuniti rentan.

“CIRCLE berperanan menerjemahkan penyelidikan kepada latihan, intervensi dan inovasi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

Beliau berkata kerjasama CIRCLE dengan badan industri dan universiti antarabangsa memastikan perkhidmatan dan model intervensi yang dibangunkan adalah setara amalan global.

“UPSI yakin CIRCLE mampu menjadi pusat rujukan inklusif negeri serta penyelaras latihan dan standard kualiti merentasi pelbagai agensi,” katanya.

Oleh Bazli Razak

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *