SEBANYAK 500 ‘KOTAK REZEKI TOK LAN’ DIAGIHKAN UNTUK PENERIMA YANG LAYAK

IPOH – Ketua WHIP Ahli Majlis Bandaraya Ipoh berkolaborasi bersama Koperasi Agro Perak Berhad menyediakan sebanyak 500 kotak makanan untuk diagihkan kepada para penerima yang layak terutama golongan orang kurang upaya ( OKU ), B40 dan juga miskin tegar.

 

Majlis penyerahan kotak makanan telah diluncurkan oleh Ketua WHIP Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Clr Datuk Mazlan Abdul Rahman bertempat di Dewan Komuniti Villa Medan Desa Perpaduan pada pagi ini.

 

Turut mengiringi beliau Pengerusi Koperasi Agro Perak Berhad ( KAPB ), Jack Ang Kok Soon, Setiusaha Agung KAPB, Haizul Ahdenan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung ( JPKK ) serta tetamu jemputan.

 

Clr Mazlan berkata, penyerahan kotak makanan pada pagi ini turut mendapat kerjasama daripada KAPB untuk membantu menjayakan program ini.

 

” Pada pagi ini sebanyak 300 kotak makanan telah diagihkan manakala baki 200 kotak makanan akan diagihkan di kawasan perkampungan orang asli iaitu di Kampung Chadak pada hari esok.

 

” Dengan adanya agihan barangan dapur diharap ianya dapat meringankan sedikit bebanan kos sara hidup dimana setiap kotak mengandungi beras,gula, tepung,minyak masak,biskut yang dianggarkan bernilai RM110 untuk setiap kotak,” ujar beliau kepada Perak Kini.

 

Salah seorang penerima Ganesan Muthu Rajoo, 60, berkata, ” Bantuan kotak makanan yang diberikan sedikit sebanyak membantu untuk keperluan dapur dan saya ucapkan berbanyak terima-kasih “.

 

Clr Mazlan turut menambah, beliau akan terus optimis untuk meluaskan pelaksanaan program sebegini pada masa akan datang, dengan harapan setiap langkah kecil ini bakal memberi impak besar dan kemajuan inklusif kepada semua pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *