Sidang DUN Perak: 7,872 hektar tanah diceroboh di Perak

Foto: Korporat SUK Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Statistik Pejabat Tanah dan Galian ( PTG ) Perak mencatatkan sebanyak 7,872.71 hektar tanah 0.38 peratus daripada sejumlah 2,097,600 hektar keluasan tanah di Perak sehingga Disember 2022.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pencerobohan tanah itu membabitkan aktiviti-aktiviti seperti pembinaan kediaman, pertanian, penternakan dan perusahaan.
Menurutnya, aktiviti pertanian mencatatkan pencerobohan tertinggi sebanyak 7,307.59 hektar tanah atau 92.82 peratus.
Tambahnya, sebanyak 400.09 hektar tanah digunakan secara tidak sah untuk aktiviti penternakan dan perusahaan serta baki 165.03 hektar digunakan untuk tujuan pembangunan kediaman iaitu petempatan setinggan.
“Justeru, Pihak Berkuasa Negeri mengambil tindakan menubuhkan Jawatankuasa Usaha Haram dan Setinggan Negeri Perak bagi menyelesaikan isu ini.
“Jawatankuasa ini akan bersidang setiap suku tahun bagi memantau dan mengenal pasti aktiviti haram dan setinggan di atas tanah milik kerajaan negeri di samping, melaksanakan tindakan-tindakan punitif bagi membanteras aktiviti pencerobohan tanah ini daripada terus berleluasa.
“Di samping itu, terdapat juga dasar penyelesaian pendudukan setinggan kediaman di atas tanah kerajaan yang telah diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Bilangan 2048 bertarikh 10 November 2021 melalui beberapa kaedah pelupusan tanah seperti pemberi milikan tanah kerajaan, pajakan tanah rizab dan pemberian Lesen Pendudukan Sementara serta perlaksanaan penguatkuasaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
“Dasar ini memperuntukan tempoh pelaksanaan penyelesaian petempatan setinggan dalam tempoh 5 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) pada hari ketiga pada Sidang DUN Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Saarani berkata kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif tambahan dalam menyelesaikan isu penerokaan haram di atas tanah kerajaan antaranya, pemutihan tanah kerajaan melalui agensi.
“Tujuan inisiatif ini adalah untuk memberi milik mana-mana tanah kerajaan negeri yang diteroka dengan aktiviti pertanian dan penternakan kepada pihak agensi dan perbadanan negeri untuk dipajak sewa kepada peneroka-peneroka tersebut bagi membolehkan aktiviti mereka diteruskan seperti biasa.
“Analisis data menunjukkan dari tahun 2018 hingga tahun 2021, sebanyak 5,959.74 hektar tanah kerajaan yang diteroka oleh peneroka haram telah diberi milik kepada pelbagai agensi dan perbadanan milik kerajaan.
“Daripada jumlah tersebut, 3,930.79 hektar telah disewa atau dipajak kepada peneroka tersebut, 700.92 hektar telah dilaksanakan tindakan penguatkuasaan dan baki 1,328.03 hektar di dalam perancangan untuk pembangunan, penyewaan atau pajakan kepada peneroka haram,” jelasnya.
#PerakKini #SidangDUN #ceroboh #tanahharam #Perak
