SK Tanjong Rambutan anjur Kejohanan Merentas Desa dan Kids Athletics selepas tangguh dua tahun akibat Covid-19

Mazlan bergambar bersama-sama murid-murid SK Tanjong Rambutan selepas selesai upacara penyampaian hadiah sempena Kejohanan Merentas Desa dan Kids Athletics peringkat sekolah berkenaan, pada Jumaat.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Rambutan kembali meriah dengan berlangsungnya Kejohanan Merentas Desa dan Kids Athletics peringkat sekolah berkenaan selepas dua tahun ditangguhkan akibat Covid-19.
Guru Besarnya, Jasmaney Saidin berkata bagi Kejohanan Merentas Desa, ia disertai murid-murid tahap dua (tahun empat hingga enam) manakala Kids Athletics pula disertai murid-murid tahap satu (tahun satu hingga tiga).
“Seramai 530 orang murid mewakili empat buah rumah iaitu Nilam (biru), Topaz (kuning), Zamrud (hijau) dan Delima (merah) terbabit dalam kedua-dua kejohanan tersebut.
“Pihak sekolah amat menitikberatkan keselamatan murid-murid. Justeru, kami mengecualikan murid-murid yang mempunyai masalah kesihatan bagi melancarkan kejohanan yang berlangsung pada hari ini,” katanya ketika ditemui Perak Kini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman dan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Tanjong Rambutan, Masri Adlan Mohd Nawawi.

Dalam pada itu, Mazlan berkata kejohanan ini perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi memastikan murid-murid sentiasa cakna dalam menjalankan gaya hidup sihat.
“Program seperti ini amat bagus dalam mendidik gaya hidup sihat kepada murid-murid agar lebih banyak melakukan senaman bagi menjaga kesihatan diri.
“Hari ini juga saya melihat anak-anak Orang Asli dari Kampung Orang Asli Chadak dan Makmur bersemangat dalam menyertai kejohanan tersebut.
“Malah, atlet sekolah yang mewakili peringkat negeri juga turut bersama-sama menyertai kejohanan ini.
“Selain itu, kita perlu memastikan generasi pelapis negara ini sentiasa diberikan didikan yang betul supaya mereka tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah atau perkara-perkara yang boleh memudaratkan,” jelasnya.
Kesemua pemenang kejohanan pada hari ini menerima medal dan hamper sumbangan pihak penaja.
#PerakKini #MBI #SKTanjongRambutan #merentasdesa #kidsathletics
