Skuasy: Jangan beri tekanan pada Aifa – Ahmad Faizal

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan memberi tekanan kepada juara Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2021, Aifa Azman bagi menggantikan Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata KBS akan terus memberi sokongan kepada pemain berusia 19 tahun itu supaya dapat mengharumkan nama negara dalam semua kejohanan yang disertai pada masa hadapan.

“Saya harap beliau akan terus berjaya, namun kita tidak perlu memberikan tekanan cukup kuat yang terlalu besar kepada beliau untuk menggantikan Nicol David atau sebagainya.
“Kita akan terus berdoa dan memberi sokongan kepada beliau supaya dapat mengibarkan Jalur Gemilang dalam semua kejohanan yang disertai dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Derma Darah anjuran Perak FoodBank bersama Kelab Kiwanis Jelapang di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Tawas Tambahan, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Perak FoodBank, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi; Pengerusi Kelab Kiwanis Jelapang, Syed Nasrul Azmi Syed Mahmud dan Ketua Unit Jabatan Perubatan Tranfusi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr Norsazila Zambree.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal turut kagum dengan pencapaian yang diperoleh anak kelahiran Alor Star, Kedah itu.

“Beliau adalah seorang pemain yang amat berpotensi dan  pencapaian terbaru ini amat membanggakan di gelanggang sendiri memandangkan kita selaku tuan rumah,” ujarnya.

Semalam, Aifa berjaya menewaskan pemain pilihan pertama dari Mesir, Salma Hany Ibrahim Ahmed yang juga pemain kelapan terbaik dunia.

Kejayaannya di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil itu memastikan gelaran juara kekal milik Malaysia buat kali keempat berturut-turut bagi saingan wanita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *