SURAU AR RIDZUANIAH MENYAMBUT ISRAK MIKRAJ DENGAN MAJLIS ILMIAH

IPOH – Tanggal 27 Rejab adalah tarikh istimewa buat umat Islam iaitu berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj yang merupakan salah satu mukjizat agung Rasulullah SAW.

 

Peristiwa ini memperlihatkan Nabi Muhammad SAW adalah kesinambungan terakhir daripada rangkaian nabi, sekaligus menjadi penghulu kepada mereka semua.

 

Israk bermaksud perjalanan Baginda menunggang ‘buraq’ bersama Malaikat Jibril dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil al-Aqsa, Baitulmaqdis, Palestin.

 

Manakala Mikraj bermaksud perjalanan Baginda dari Masjidil al-Aqsa ke Sidratul Muntaha iaitu langit ke-7.

 

Peristiwa Israk Mikraj ini tercatat dalam surah Al-Israa’ ayat 1 (Al-Quran:17:1). Surah An-Najm (al Quran:53:13-18) juga menceritakan peristiwa ini.

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (Baitulmaqdis), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya dia maha jualah yang Maha Mendengarkan lagi Maha Mengetahui.” ( Al-Quran, Surah Al Israa’: 1)

 

Untuk menghayati peristiwa ini, Jawatankuasa Surau Ar-Ridzuaniah Kampung Tersusun Tawas Tambahan(SAR) telah mengadakan kuliah khas sempena ‘Israk Mikraj’ yang disampaikan oleh Ust Muhammad Izzat Syafiq Mohammad Tarmizi daripada Jabatan Mufti Negeri Perak bertempat di Ruang Solat Utama SAR pada Selasa ini.

 

Turut hadir Pengerusi SAR, Zulkifli Kamaruddin, Penghulu Kanan Mukim Chemor, Azhari Saad, Pengerusi JPKK Kampung Tawas Tambahan, Halil Aspawi Hassan serta jemaah surau.

 

Zulkifli berkata, “Umat Islam hari ini perlu komited memakmurkan masjid dan surau kerana ia bukan sahaja menjadi simbol kepada perkembangan syiar Islam, bahkan rumah Allah SWT yang sepatutnya menjadi tempat yang sering dirindui umat.

 

“Masjid dan surau adalah landasan bagi umat Islam untuk bersatu, bermuafakat dan mencipta kecemerlangan dalam hidup kerana tanpanya, hidup umat tidak akan terpandu dengan lancar,” ujar beliau kepada Perak Kini.

 

Usai kuliah khas diteruskan dengan solat Isyak berjemaah disusuli bacaan tahlil serta jamuan makan kepada para jemaah dengan pelbagai juadah istimewa yang telah disediakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *