SEKOLAH TAHFIZ DISERU BERDAFTAR UNTUK ELAK TERCICIR BANTUAN

BAGAN DATUK: Sekolah tahfiz yang belum berdaftar disaran berbuat demikian bagi mengelak tercicir bantuan kerajaan.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini hanya 1,199 sekolah tahfiz berdaftar manakala 2,500 lagi belum berdaftar di bawah kerajaan negeri masing-masing.

 

“Banyak tahfiz di negeri-negeri yang tidak berdaftar, jadi mereka tidak tersenarai dalam bantuan kerajaan.

 

“Jadi saya sarankan pusat-pusat tahfiz ini supaya berdaftar, namun tidak ada paksaan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi ramah mesra dan taklimat projek pembinaan bangunan SM Imtiyaz Tuminah Hamidi di Kampung Sungai Balai Darat di Bagan Datuk, pada Khamis.

 

Menurut Ahmad Zahid, kesedaran untuk mendaftar harus timbul dalam kalangan para pewakaf serta pengendali maahad tahfiz dan mereka perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri.

 

Katanya, kerajaan sangat menggalakan penubuhan sekolah tahfiz kerana pusat pengajian berteraskan agama itu boleh diserapkan di bawah Program Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz.

 

Namun katanya, pusat tahfiz terlibat perlu berdaftar dengan kerajaan negeri masing-masing untuk diberi bantuan sewajarnya.

 

Jelas beliau, setakat ini banyak sekolah tahfiz berdaftar telah melahirkan golongan hufaz berjaya dalam pelbagai bidang profesional termasuk doktor dan jurutera.

 

Justeru Ahmad Zahid berkata, kerajaan sangat mengalu-alukan penubuhan sekolah tqhfiz bagi menukar ekosistem pendidikan negara.

 

Untuk rekod, setakat ini terdapat 71 daripada kira-kira 90 maahad tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *