TAHAN BOT NELAYAN GUNA KRU WARGA ASING

Oleh NORSHARUDDIN SAPIAN
LUMUT: Jabatan Perikanan Perak memberi peringatan kepada semua pengusaha bot perikanan di negeri supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang bagi mengelakkan mereka dari dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata, sehubungan itu pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan di seluruh perairan negeri ini bagi memastikan mereka beroperasi mengikut peraturan yang dibenarkan.
“Anggota penguat kuasa Jabatan Perikanan melakukan rondaan setiap masa di perairan negeri ini bermula dari sempadan Selangor hingga ke Pulau Pinang.


“Rondaan dilakukan bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan tanpa mengira waktu,” katanya.
Menurutnya, dalam operasi terbaru pihaknya berjaya menahan dua buah bot pukat tunda tempatan bersama enam kru warga negara Myanmar di dua lokasi berasingan di perairan Pulau Lalang, Bagan Datuk dekat sini.
Beliau berkata, bot berkenaan ditahan oleh sepasukan empat anggota CPS Kampung Acheh, Sitiawan kerana menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Bot pukat tunda pertama yang menggunakan tiga kru warga Myanmar ditahan di kedudukan 0.7 batu nautika dari Pulau Lalang, Bagan Datuk pada 8.40 pagi.
“Kira-kira 20 minit kemudian anggota penguat kuasa Jabatan Perikanan turut menahan sebuah lagi bot bersama tiga nelayan warga Myanmar selain menggunakan kod zon tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan pada kedudukan 1.1 batu nautika lokasi sama,” katanya.
Menurutnya, selain daripada menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran, bot berkenaan turut melakukan kesalahan menggunakan saiz mata pukat kurang 38 milimeter (mm).
“Dalam operasi itu, kita turut merampas lebih 200 kilogram pelbagai jenis ikan dengan keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1 juta.
“Tangkapan itu akan disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua bot pukat tunda itu kemudiannya dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan dekat sini untuk tindakan lanjut.

