TAJ COLLEGE BERKOLABORASI BERSAMA LIMA UNIVERSITI AWAM MALAYSIA

IPOH – TAJ International College ( TIC ) melaksanakan kolaborasi bersama 5 universiti awam sempena Minggu Terbuka TIC 2025 serta pra peluncuran School of Education ( SOE ) bagi perintis Guru Next Gen 2025.
Majlis peluncuran dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Safuan Haji Raba’ai bertempat di Kampus TIC.
Turut mengiringi Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Dato Seri Tajuddin serta kehadiran 270 orang kaunsellor sekolah menengah dari seluruh negeri Perak.
Tina berkata, majlis pra pelancaran SOE pada petang ini mendapat kerjasama penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta beberapa universiti awam seperti UUM, UKM dan UPM.
“Program ini bertujuan untuk menyokong reformasi pendidikan dengan melatih guru-guru muda yang berkaliber dan bersedia menghadapi perubahan masa depan, terutamanya dalam bidang teknologi dan digital serta melibatkan pendekatan ‘work-based learning’ (WBL) di mana pelajar boleh mengajar dengan sokongan dan bimbingan daripada universiti awam.
“TIC berusaha mendekatkan universiti dengan sekolah dan menawarkan biasiswa penuh, separuh, serta program “Learn and Earn” untuk pelajar dengan kerjasama JPN negeri Perak dan TIC bersedia mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” ujar beliau kepada Perak Kini.
Beliau juga turut menambah, MQA memainkan peranan penting dalam memastikan program diploma mematuhi piawaian yang ditetapkan, manakala modul tambahan universiti tertakluk kepada pihak universiti sendiri bagi melatih guru muda yang berkaliber dan bersedia menghadapi perubahan didalam pendidikan.




