Tak salah terima bantuan dari Freemasons, bukan ikut fahaman mereka – KP Perak

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis Perak mengambil sikap terbuka dalam menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak selagi ia tidak mengaibkan pasukan keselamatan itu.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata tidak menjadi satu kesalahan kepada pertubuhan termasuk yang mengaitkan mana-mana fahaman untuk memberi sumbangan kepada pihak berkuasa terbabit.
“Bagi saya tak ada salah pun (pemberian bantuan pelindung muka). Apa isunya kalau dia (Freemasons) bagi pada pihak polis.
“Kita mengalu-alukan pada siapa-siapa yang nak memberi sumbangan kepada pihak polis dalam menghadapi tugasan harian dan sama-sama berjuang mengekang jangkitan Covid-19.
“Mereka (Freemasons) tampil ke depan bagi sumbangan pelindung muka, jadi saya tak nampak ada sebab kita boleh menghalang mereka daripada memberi sumbangan,” katanya selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada pengamal media akhbar berbahasa Tamil Makkal Osai, R Letchumi, 53, yang diserang angin ahmar sejak Julai lalu di rumahnya di Taman Desa Pengkalan, pada Jumaat.
Mengikut laporan Malaysiakini pada hari ini, Persatuan Kebajikan Bintang Utara yang mewakili pertubuhan Freemasons daripada negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia menyalurkan bantuan pelindung muka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut kenyataan pertubuhan tersebut, sumbangan itu bagi memastikan semua orang terutamanya pasukan barisan hadapan, memandangkan Malaysia masih berlawan dengan pandemik Covid-19 dan sedang beralih ke fasa endemik.
Bagaimanapun, warganet bertindak menyerang media sosial selepas menganggap pemberian bantuan itu tidak wajar diterima pasukan keselamatan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata pihaknya bersedia membantu Polis Kontinjen Johor bagi mengesan dua beranak berhubung satu kes membabitkan pemalsuan dokumen surat aku janji yang menjalankan urusan pertukaran mata wang asing yang menyalahgunakan nama Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Setakat ini kita belum jumpa lagi dua individu yang dikehendaki itu dan sekiranya ada info lanjut kita akan maklumkan kemudian,” jelasnya.
Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya sedang menjejaki M Parameswaran, 64, dan anaknya P Kuganathan, 34, yang beralamat terakhir di Persiaran Jelapang 16, Taman Sibilin di Ipoh yang dipercayai terbabit dengan kes berkenaan.
Baru-baru ini media melaporkan polis Johor memburu tiga individu tempatan dipercayai terbabit dengan kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing menyalahguna nama TMJ.
Ia membabitkan dokumen ‘letter of undertaking’ pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) kepada ringgit yang dipercayai palsu.

