Tayar sotong, ubah suai ekzos antara kesalahan dikesan sepanjang Ops Lejang

Sebahagian motosikal yang disita JPJ Perak pada Ops Lejang.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Tayar sotong dan ubah suai ekzos antara kesalahan yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak sepanjang lapan hari Ops Lejang dijalankan sejak 1 Ogos lalu.
Timbalan Pengarah JPJ Perak, Ab Aziz Awang Teh berkata bagi tempoh itu pihaknya mengeluarkan 706 notis saman dan menyita 17 buah motosikal membabitkan pelbagai kesalahan.
“Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 661 buah motosikal diperiksa dan jumlah notis saman tertinggi yang dikeluarkan sehari ialah 312.
“Selain itu, kita turut mengesan pelbagai kesalahan antaranya termasuklah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai motosikal dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di JPJ Perak, di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Ab Aziz berkata operasi itu diadakan bertujuan untuk membanteras kegiatan lumba haram dan menunggang secara merbahaya yang menjadi punca kemalangan serta terjadinya kes kematian.
“Sehubungan itu, JPJ Perak ingin memberikan peringatan dan amaran bahawa mereka yang terlibat dalam kegiatan lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya akan dikenakan tindakan tegas termasuk penyitaan motosikal di bawah Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya yang memaklumkan operasi itu akan berlangsung sehingga 30 September ini.
#PerakKini #JPJ #OpsLejang #Perak
