Terus berkhidmat untuk rakyat Tambun, ikut kemampuan – Ahmad Faizal

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak yang juga Pengerusi PN Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat di Parlimen Tambun mengikut kemampuan walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Tambun, banyak perkara yang dilaksanakan bagi keselesaan rakyat di kawasan tersebut.
“Selama saya menjadi Ahli Parlimen, saya telah mengusahakan beberapa perkara antaranya perkhidmatan van jenazah, ambulan yang masih beroperasi sehingga kini.
“Kita teruskan perkhidmatan tersebut untuk membantu rakyat tanpa mengira parti kerana ini adalah satu tanggungjawab sosial bagi semua pihak. Jadi, bagi pihak PN saya sendiri akan meneruskan apa juga perkhidmatan yang saya berikan sebelum ini.
“Namun sudah tentu saya ada banyak kekangan kerana tidak lagi memiliki peruntukan daripada kerajaan persekutuan selaku Ahli Parlimen, maka apa yang kita dapat teruskan mengikut kemampuan kita sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis kenduri kesyukuran PN Tambun dan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di sini, pada Ahad.
Bekas Menteri Besar Perak itu berkata beliau juga tidak menolak untuk bekerjasama dengan Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan itu.
“Justeru, kita akan usahakan yang terbaik untuk membantu orang ramai bersama dengan Ahli Parlimen sekarang yang juga Perdana Menteri Malaysia demi rakyat,” katanya.
Untuk rekod, Ahmad Faizal gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tambun selepas tewas kepada Anwar dengan majoriti 3,736 undi pada PRU15 yang lalu.
#PerakKini #ParlimenTambun #Peja #AnwarIbrahim #PMX #PN #PH
