UMNO Perak sokong Ahmad Zahid kekal Presiden

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – UMNO Perak sebulat suara mempertahankan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk terus kekal sebagai Presiden parti itu walaupun terdapat desakan supaya beliau meletakkan jawatan selepas kekalahan besar UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata parti lain tidak pernah mendesak kepimpinan teratas mereka untuk melepaskan jawatan jika parti mereka kalah dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.
Menurutnya, berpuluh-puluh tahun DAP tidak pernah menang pilihan raya, tiada orang DAP yang mendesak Lim Kit Siang (ketika menjadi Presiden DAP) untuk letak jawatan.
“Sama juga berpuluh tahun lamanya Pas tak menang pilihan raya, kalah berkali-kali tak ada pula orang menuntut supaya jadi letak jawatan.
“Tahun 2021, Melaka dimenangi oleh Barisan Nasional (BN). Masa itu Pas pun kalah, PKR (Parti Keadilan Rakyat) pun kalah, DAP pun kalah, tapi tak ada siapa pun suruh Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang), Tan Sri Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) letak jawatan.
“Malah, saya semak pada PRN baru-baru ini 18 kerusi daripada Perikatan Nasional (PN), hilang deposit dan tak ada pula calon UMNO yang hilang deposit. Kenapa tak ada orang menuntut supaya Pengerusi PN untuk letak jawatan?,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak dan Jualan Rahmah di Stadium Indera Mulia, pada Rabu.
Dalam pada itu, Saarani berkata tiada ada jaminan yang mengatakan bahawa jika Ahmad Zahid letak jawatan orang Pas akan sokong UMNO.
“Selain itu, tak ada jaminan jika Datuk Seri Zahid letak jawatan orang Bersatu (Parti Peribumi Bersatu Malaysia) akan bubar bersatu masuk UMNO.
“Jadi, nasihat saya kepada orang-orang UMNO supaya tidak perlu menari ikut gendang orang luar,” ujarnya.
Katanya, sebaiknya masing-masing menjaga parti sendiri dan tidak perlu campur tangan atas urusan parti lain.
PRN Sabtu lalu menyaksikan gabungan PN memenangi 146 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH)-BN memperoleh 99, daripada keseluruhan 245 kerusi ditandingi di enam negeri.
Enam negeri yang terlibat dalam PRN adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.
#PerakKini #UMNOPerak #AhmadZahidHamidi #kekal #PresidenUMNO #RBZ
